
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Himpunan Turun Anwar yang akan diadakan di Dataran Merdeka, esok (26 Julai) sebagai proses demokrasi yang perlu disokong semua rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakcekapan kerajaan.
Beliau berkata, perhimpunan aman itu juga wajar disertai rakyat yang bosan dengan pembohongan yang berterusan setiap kali Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersuara.
“Makin hari rakyat tambah derita. Kehidupan harian makin sukar. Ramai yang terdesak, tertekan hingga sanggup melakukan perkara yang tidak terfikir termasuk membunuh diri, bunuh mak bapa, bunuh anak dan bermacam lagi.
“Usaha untuk kaburi mata rakyat dengan memberi wang seratus ringgit, penurunan harga minyak beberapa sen hanya setelah rakyat dicukai sebegitu banyak ini umpama tangan kiri ambil, tangan kanan beri.
“Tapi malangnya yang ambil lebih banyak dari yang diberi. Harga barang keperluan tetap mahal,” ujarnya dalam video di media sosial miliknya hari ini.
Dr Mahathir turut mengkritik tindakan kerajaan yang melanggar asas Perlembagaan dan menganiaya pihak yang membongkar salah laku Perdana Menteri.
Katanya, pelbagai usaha juga dilakukan untuk melemahkan institusi kerajaan agar menurut telunjuk pemerintah.
“Anwar tidak menang pilihan raya secara mutlak. Dia jadi Perdana Menteri dengan percaturan kuasa selepas pilihan raya. Ini bermakna dia bukan pun pilihan rakyat kerana itu himpunan ini berhak desak Anwar turun.
“Bukan sahaja dia bukan pilihan rakyat, tetapi tanpa malu dia salah guna kedudukannya,” tempelaknya.
Dr Mahathir turut menyifatkan himpunan itu sebagai satu-satunya saluran yang dibenarkan dalam sistem demokrasi untuk mendesak Anwar supaya meletakkan jawatan.
“Oleh itu datanglah beramai-ramai supaya dia sedar bahawa rakyat sudah jelik dan muak dengan kepimpinannya, bosan dengan pembohongannya. Turun Anwar. Kamu telah khianati negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











