MPKK pemangkin rakyat, integriti teras pentadbiran

- Advertisement -

KANGAR: Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) perlu berperanan secara aktif sebagai penghubung utama antara Kerajaan Negeri dan rakyat dalam menyampaikan isu serta pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat akar umbi.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, MPKK bukan sahaja bertanggungjawab menyalurkan aduan dan pandangan rakyat kepada agensi berkaitan, malah menjadi rakan penting dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri termasuk aspek keselamatan, kebajikan serta pembangunan komuniti.

“MPKK bertindak sebagai perantara di peringkat akar umbi yang berperanan menyalurkan sebarang permasalahan, aduan, atau cadangan kepada pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi yang berkaitan dan peranan MPKK amat signifikan bagi memastikan suara rakyat sampai kepada pihak yang bertanggungjawab.

“MPKK harus memainkan peranan menyeluruh dalam membantu pihak keselamatan serta mengambil perhatian terhadap isu-isu seperti penyalahgunaan dadah, bencana alam dan kebajikan penduduk kampung,” katanya.

Beliau berucap dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagi bulan Julai 2025 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Negeri di sini hari ini.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi Ismail serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau turut menggesa semua ahli MPKK menyertai kursus dan program anjuran Kerajaan Negeri sebagai langkah menambah pengetahuan, di samping memahami dasar-dasar kerajaan seperti Kempen Perlis Bersih dan Sihat, Perlis Go Digital dan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

“Kejayaan kampung-kampung di negeri Perlis bergantung kepada kerjasama erat antara MPKK dan agensi-agensi Kerajaan Negeri,
termasuk Bahagian Pentadbiran Daerah selaku peneraju pembangunan luar bandar serta Pusat Khidmat Wakil Rakyat di kawasan masing-masing.” katanya.

Dalam ucapannya, Mohd Shukri turut menekankan kepentingan budaya integriti dalam perkhidmatan awam sebagai asas kepada tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

“Integriti bukan sekadar slogan, tetapi perlu menjadi amalan harian. Ia mesti diterapkan dalam semua peringkat, dari penggubal dasar hingga ke peringkat pelaksana,

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perlis berpegang teguh kepada prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Maka, setiap jabatan dan agensi di bawah pentadbiran ini mesti melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan profesionalisme,

“Budaya integriti tidak boleh bersifat kosmetik. Ia perlu dipupuk dari dalam melalui pendidikan, kepimpinan beretika, dan penguatkuasaan yang konsisten,” tegas beliau.

Menteri Besar turut menyeru penjawat awam untuk bersama-sama menjayakan “Nak Tenang? Nak Bahagia? Jom Baca Al-Quran”, sebagai usaha membudayakan amalan membaca dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat, selain mendidik jiwa yang tenang dan berakhlak.

“Marilah kita memberikan perhatian kepada ayat ke-28 dari Surah ar-Ra’d yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

“Saya mengharapkan dalam setiap majlis kerajaan untuk kita budayakan pembacaan Al-Quran sebelum bermula majlis. Selain kita
mengharapkan keberkatan daripada Allah sepanjang majlis, kita juga sedikit sebanyak mendidik rasa cinta kepada Kitabullah ini.” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menurunkan harga minyak baru-baru ini dan menyokong usaha tersebut demi kesejahteraan rakyat.

“Penurunan harga minyak sebanyak 6 sen ini kita menyambut baik. Cumanya respon saya kepada media baru-baru ini sekiranya
dapat diturunkan harga lebih banyak lebih baik.

“Semuanya demi kelangsungan memudahkan urusan rakyat. Insya-Allah kita semua bersyukur kepada Allah SWT yang mengurniakan rezeki ini.” katanya.

Pada masa sama, beliau menepis tuduhan sesetengah pihak pembangkang yang mendakwa kerajaan negeri hanya menumpang hasil kerja pentadbiran lama.

“Projek-projek terdahulu yang terbengkalai sudah menjadi tanggungjawab untuk di selesaikan kerajaan semasa yang mentadbir
urus negeri.

“Saya tidak mahu dengan mudah kita menghentikan projek yang baik dan perlu disiapkan kerana banyak wang telah dilaburkan untuk melaksanakan projek-projek ini.

“Sudah masanya kita berpolitik dengan lebih matang dan sejahtera. Saya mengajak rakan-rakan dipihak sana untuk kita bersama-sama membangunkan negeri ini tanpa sebarang spekulasi dan persepsi
yang tidak elok.” ujarnya.

Beliau mendoakan semoga warga penjawat awam terus beristiqamah dan beriltizam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti sepanjang masa dan apa yang dilaksanakan akan mendapat keberkatan Ilahi. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -