ADUN Indera Kayangan diingat tak jadi ‘batu api’

- Advertisement -

KANGAR: Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Mohamad Azreen Jumri menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling susulan kenyataannya yang mendakwa Menteri Besar Perlis menyindir Perdana Menteri berhubung isu penurunan harga minyak.

- Advertisement -

Mohamad Azreen menegaskan bahawa tiada sebarang unsur sindiran dalam kenyataan Menteri Besar, malah beliau secara jelas mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas penurunan harga minyak yang diumumkan baru-baru ini.

“Cuba tengok balik video kenyataan YAB MB. Beliau hanya kata kalau turun 60 sen, kan lebih baik daripada 6 sen. Bukankah lebih banyak penurunan, lebih baik untuk rakyat? Malah beliau masih berterima kasih kepada Kerajaan Pusat,” katanya di Facebook rasmi beliau.

Lebih mengejutkan, ujar beliau, ADUN Indera Kayangan itu turut mengaitkan isu penurunan harga minyak dengan projek Sekolah Sukan Perlis yang terbengkalai selama lebih 11 tahun, dan mendakwa ianya berjaya diselamatkan hasil usaha Perdana Menteri.

“Sudah beberapa kali YAB MB menjelaskan bahawa projek itu adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Malah ketika lawatan pertama PMX ke Perlis, YAB MB sendiri bertemu dan menyerahkan laporan penuh projek sakit ini, demi memastikan projek itu tidak terus terbengkalai,” katanya lagi.

Tambah Mohamad Azreen, tindakan Menteri Besar Perlis yang tidak menyalahkan kerajaan terdahulu merupakan bukti pendekatan politik matang yang diamalkan pentadbiran negeri.

“Kalau nak berpolitik, boleh sahaja salahkan Kerajaan BN dulu yang abaikan projek itu. Tapi sebab YAB MB utamakan rakyat, beliau teruskan usaha untuk siapkan sekolah itu, dengan bantuan ICU Perlis dan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan

“Inilah namanya hubungan strategik yang baik yang akhirnya menyenangkan urusan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menempelak kenyataan Gan yang didakwa cuba menjadi ‘batu api’ dalam hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sedangkan hubungan kedua-dua pihak ketika ini berada dalam keadaan yang baik.

“YAB MB masih komited menjadi rakan strategi dengan Kerajaan Persekutuan. Hubungan YAB MB dengan PMX, bagi saya amat baik,

“Setiap kali pertemuan di Pusat, YAB MB tidak terlepas menyapa PMX, dan disambut mesra. YB Gan jangan jadi batu api untuk rosakkan hubungan ini,” tambahnya.

Mohamad Azreen turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi ruang kepada ADUN Indera Kayangan untuk menyertai pelbagai program rasmi, termasuk program bertemu rakyat, dan tidak pernah menganggap beliau sebagai musuh.

“Kita jemput YB ke program kerajaan negeri, program bersama rakyat pun kita jemput, kita tak pernah halang pergerakan beliau untuk bantu rakyat. Layanan kita baik. Tapi sekarang siapa yang main politik?

“Saya yakin YB juga akui hubungan baik ini. YB Gan tahu ka atau memang tak tahu apa-apa?” soalnya.

Sebelum ini, Gan Ay Ling dalam satu kenyataan mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Perlis yang didakwa menyindir Perdana Menteri berhubung isu pengurangan harga minyak serta mendakwa projek Sekolah Sukan Perlis hanya berjaya diselamatkan hasil inisiatif Kerajaan Pusat. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -