
KALABAKAN: Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan berhubung kematian tragis seorang pelajar, Zara Qairina, 13, yang dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama penuh pada 17 Julai lalu.
Menurut beliau, kematian tersebut bukan sekadar insiden kemalangan, sebaliknya diselubungi dakwaan membimbangkan bahawa mangsa telah dibuli berulang kali dan mengalami tekanan emosi akibat gangguan oleh seorang pelajar senior dikenali sebagai ‘Kak Wana’.
“Malam sebelum kejadian, Zara sempat meluahkan perasaan kepada keluarganya dengan berkata: ‘Zara takut sangat Kak Wana marah…’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad berkata, kes itu mencerminkan kegagalan sistem perlindungan pelajar di asrama dan menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan serta tanggungjawab pihak sekolah.
“Apa sebenarnya yang sistem kita abaikan? Tiada CCTV di bangunan asrama, tiada laporan awal kepada polis, malah keluarga mendakwa mereka dihalang daripada membuat laporan dengan alasan pihak sekolah akan ‘uruskan’.
“Lebih mengejutkan, tiada intervensi awal dilakukan meskipun Zara sering mengadu mengenai tekanan yang dialaminya. Ini adalah kegagalan struktur, bukan sekadar isu disiplin,” tegasnya.
Beliau merujuk kajian Universiti Malaya pada 2023 yang mendapati satu daripada tiga pelajar asrama pernah mengalami buli secara fizikal atau emosi, namun lebih 70 peratus tidak melaporkannya kerana takut dibalas atau dianggap lemah.
Sebagai panel penasihat Mahkamah Kanak-Kanak, Ahmad mengingatkan bahawa undang-undang sedia ada memberi perlindungan jelas terhadap kanak-kanak.
“Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan kanak-kanak berhak hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada penganiayaan.
“Jika wujud unsur buli melampau, pelaku boleh disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) atau Seksyen 506 (ugut jenayah), manakala pihak sekolah sebagai penjaga berdaftar juga boleh dikenakan tindakan sivil atas kecuaian,” ujarnya.
Ahmad turut menggesa agar budaya ‘junior takut senior’ yang dinormalisasikan sebagai adat asrama dihentikan segera.
PAS Sabah dalam kenyataan sama turut mengemukakan beberapa tuntutan tegas agar tragedi seumpama tidak berulang, termasuk audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah berasrama penuh, terutamanya asrama agama.
“Melaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak KPM secara menyeluruh dengan sistem pelaporan yang telus. Selain itu, pihak berwajib perlu mengenakan tindakan sewajarnya.
“(Iaitu) terhadap mana-mana pelajar, warden atau pihak sekolah yang cuai atau melindungi pembuli. Siasatan bebas dan menyeluruh tanpa sebarang cubaan menutup kes dengan alasan menunggu hasil bedah siasat,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, masyarakat tidak boleh terus menormalisasikan budaya berdiam diri kerana takut kepada tekanan pihak atasan.
“Kali ini, seorang budak kecil sudah tidak sempat bersuara. Salam takziah kepada keluarga adik Zara. Semoga keadilan ditegakkan dan kebenaran tidak disembunyikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











