Isyarat anak muda bimbang masa depan negara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyeru anak muda seluruh negara untuk hadir ke ibu negara menyertai Himpunan Turun Anwar sebagai isyarat jelas menyatakan hasrat dan kebimbangan terhadap masa depan negara.

Beliau berkata, kehadiran anak muda ke himpunan itu bukan sia-sia, sebaliknya menjadi medan luahan rasa kecewa terhadap janji-janji Perdana Menteri yang sekadar menjadi seloka politik tanpa satu pun tertunai.

“Rakyat diberi harapan, tetapi realitinya dikhianati oleh tindakan dan keputusan yang bercanggah. Dulu, hari ini menang, esok minyak turun.

“Saya ulang esok minyak turun bukan setelah gelombang rakyat dibentuk, dimainkan perasaan rakyat dengan turun enam sen dengan penerusan sistem harga bersasar. September belum tentu turun lagi,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Perdana Menteri yang dahulunya lantang melaungkan perang terhadap rasuah kini hanya menjadikan isu itu mainan di bibir.

“Dulu digelar hero antirasuah, kini Pengarah SPRM yang dipertikaikan disambung lantik kembali. Dulu mencemuh pemimpin yang membawa keluarga dalam urusan rasmi, kini anak sendiri turut serta dalam misi luar negara.

“Dulu berlagak bersih, mencemuh ‘sakau’, kini bersahabat akrab dengan mereka yang dituduh sakau. Janji ketelusan dan reformasi kini menjadi gurauan pahit buat rakyat yang dahagakan perubahan sebenar,” tempelaknya.

Beliau turut menegaskan bahawa anak muda tidak mudah terpikat dengan kosmetik politik, malah masih ramai Ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan walaupun kononnya kek ekonomi diagih sama rata.

“Tetapi jelas agihan hanya berlaku setelah didesak oleh pihak tertentu, seperti yang berlaku dalam kelulusan projek LRT di Pulau Pinang,” terangnya.

Mohd Firdaus menambah, anak muda perlu turun menyatakan sokongan dan membina suara perubahan bersama, memandangkan mereka merupakan pemegang taruh 40 peratus pengundi.

“Kitalah juga nanti golongan yang akan menjadi korban pertama apabila ekonomi pincang. Kini sudah menampakkan menjadi mangsa sedangkan ahli politik elit terus bermewah bersama kroninya,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan anak muda ke himpunan itu adalah satu bentuk pendidikan politik yang praktikal.

“Ia akan mematangkan anak muda untuk memahami bahawa demokrasi bukan hanya membuang undi, tetapi juga menegur, mendesak dan mengubah untuk Malaysia yang lebih baik. Kita berhak mendapatkannya melalui jalur kuasa,” katanya. – *HARAKAHDAILY 25/7/2025*

- Advertisement -
- Advertisement -