
JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mengeluarkan larangan secara menyeluruh terhadap penjawat awam daripada menyertai Himpunan Aman Turun Anwar pada 26 Julai ini.
Ketua Penerangannya, Mohamad Firdaus Adnan berkata, pihaknya memandang serius amaran tersebut kerana ia disifatkan bercanggah dengan hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat termasuk penjawat awam.
“Penjawat awam juga adalah rakyat Malaysia yang dijamin hak untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10(1)(b). Mereka bukan milik mana-mana kerajaan, sebaliknya jentera negara yang seharusnya bebas dan neutral.
“Larangan total ini tanpa sebarang ruang budi bicara adalah keterlaluan. Jika mereka hadir di luar waktu kerja, tidak membawa simbol jabatan, serta tidak mengganggu tugas rasmi, maka tindakan menghalang ini merupakan satu bentuk penindasan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan KDN mengeluarkan amaran keras itu dilihat sebagai cubaan menggertak dan membungkam suara warga pentadbiran daripada menunjukkan solidariti terhadap keresahan rakyat.
Dalam pada itu, Firdaus turut mempersoalkan keadilan dalam larangan itu kerana sebelum ini ramai penjawat awam dipaksa hadir dalam program-program politik kerajaan atas nama dasar, namun kini ditekan apabila rakyat memilih saluran himpunan aman.
“Inilah wajah sebenar pentadbiran Madani yang menekan golongan bekerja dan menghalang kebangkitan suara rakyat.
“Apakah setiap yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan mahu dianggap pembelot atau tidak berintegriti? Di mana ruang demokrasi yang sering diuar-uarkan?” soalnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa perhimpunan esok bukan satu rusuhan atau anarki, sebaliknya satu ekspresi demokratik terhadap kegagalan kerajaan menangani isu kos sara hidup, ekonomi lembap dan kecurangan tadbir urus.
“Penjawat awam yang hadir sebagai rakyat biasa, tidak membawa lambang jabatan atau mencemarkan imej perkhidmatan, tidak wajar dihukum atau digertak.
“Malah tindakan sebegini hanya akan mempercepatkan kebangkitan rakyat yang muak dengan penindasan berselindung atas nama peraturan,” ujarnya.
Justeru itu, pihaknya menyeru agar pendekatan KDN dan KSN disemak semula dengan lebih adil dan profesional.
“Penjawat awam berhak diberi penerangan jelas berkenaan batasan hak mereka, bukan dimomok dengan amaran sepihak. Kerajaan perlu berhenti menekan rakyat dan institusi awam demi menutup kegagalan mereka sendiri,” katanya.
Tambah Firdaus, pihaknya akan terus komited menjadi suara semak dan imbang serta tidak akan berdiam diri apabila rakyat ditekan dan suara mereka dinafikan. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











