
KUBANG PASU: Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Pasu, Dr Haim Hilman Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun secara aman menyertai Himpunan Turun Anwar esok, sebagai simbol kebangkitan rakyat menuntut keadilan dan pembelaan yang sebenar.
Menurut beliau, rakyat tidak boleh terus berdiam diri melihat pelbagai kegagalan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Antara isu utama yang menjadi punca keresahan rakyat termasuklah kegagalan melaksanakan janji-janji reformasi yang dahulunya dicanang begitu gah.
“Rakyat sudah penat dengan retorik. Prestasi sebahagian besar menteri dan timbalan menteri amat mengecewakan. Mereka gagal memikul amanah seperti yang diharapkan,” katanya.
Beliau turut menyentuh kegagalan kerajaan dalam memacu ekonomi rakyat yang kini semakin terhimpit dengan pelbagai cukai dan tarif baru.
“Kumpulan B40 dan M40 paling terkesan. Mereka dihimpit kos sara hidup yang kian mencengkam, tetapi kerajaan seperti tidak peduli,” tegasnya.
Dr Haim turut mempersoalkan amalan undang-undang yang dilihat berat sebelah, apabila rakyat kecil dihukum segera sedangkan kes-kes besar dan berprofil tinggi seolah-olah tergantung tanpa penyelesaian.
Tambahnya, sikap tidak adil kerajaan dalam penyaluran dana pembangunan kepada negeri-negeri yang tidak sealiran politik jelas menunjukkan wujudnya amalan politik dendam perlu ditolak.
Beliau juga menekankan kegagalan kerajaan dalam membela nasib anak muda, terutama dalam aspek peluang pekerjaan, gaji yang tidak setimpal dan kadar pengangguran tinggi walaupun memiliki kelayakan akademik.
“Negara ini tidak ketandusan pemimpin berjiwa rakyat. Telah tiba masanya rakyat bangkit menyuarakan kebenaran,” ujarnya.
Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama membina Malaysia yang lebih sejahtera dan adil untuk semua lapisan masyarakat dengan menyertai perhimpunan aman dijadualkan berlangsung di Ibu Negara pada esok, Sabtu. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











