Muhyiddin seru sertai himpunan aman Turun Anwar

Peserta diseru jaga adab dan tatasusila serta patuh kepada undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyeru rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman Turun Anwar yang akan berlangsung di Ibu Negara esok.

- Advertisement -

Beliau berkata, perhimpunan itu sebagai manifestasi rakyat bagi menunjukkan sikap terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar bukan sahaja telah gagal mengurus negara dengan baik, malah memungkiri janji-janjinya kepada rakyat. Sudahlah isu beban kos sara hidup rakyat gagal ditangani, banyak pula cukai baharu diperkenalkan dan subsidi dipotong yang menambah beban rakyat.

“Janji tatakelola yang baik dan jaminan hak kebebasan rakyat untuk bersuara juga dicabuli,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, semakin ramai rakyat biasa yang diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana menyatakan bangkangan mereka terhadap dasar dan tindakan kerajaan, menyebabkan timbulnya kemarahan serta kebencian dalam kalangan rakyat.

Katanya, tindakan mengumumkan bantuan RM100 dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen adalah langkah terdesak Anwar untuk mengekang perasaan tidak puas hati rakyat.

“Ini bukanlah suatu tindakan yang betul untuk menangani masalah kos bebanan kos sara hidup. Rakyat mahukan ialah kerajaan mengkaji semula pengenaan pelbagai bentuk cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka. Ini tidak dilakukan.

“Banyak wang yang dipungut dari rakyat, yang dipulangkan hanyalah sedikit. Ia sudah terlambat,” jelasnya.

Beliau turut memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keamanan dan ketenteraman sepanjang perhimpunan berlangsung, serta menasihatkan peserta supaya menjaga adab dan tatasusila serta patuh kepada undang-undang.

“Jangan cetuskan sebarang provokasi yang mengganggu ketenteraman awam. Ingat, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapapun yang boleh menghalangnya. Justeru, jaga dan peliharalah hak ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau dan pimpinan PN akan menghadiri perhimpunan Turun Anwar esok sambil mengajak orang ramai menyertainya.

“Ayuh, kita turun beramai-ramai esok!” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -