Amaran KSN bersifat ugutan, cerminan ketakutan

HTA: Hak demokrasi penjawat awam perlu dihormati

Shamsul Azri Abu Bakar
- Advertisement -

PARIT SULONG: PAS Negeri Johor menyelar kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang memberi amaran kepada penjawat awam agar tidak menyertai Himpunan Turun Anwar dijadual berlangsung esok, 26 Julai.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dr Karim Deraman menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu bentuk ugutan yang tidak wajar serta mencerminkan ketakutan yang tidak sepatutnya terhadap suara rakyat.

“Penjawat awam juga adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk bersuara secara aman dan demokratik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta dijamin menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sikap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya seolah-olah telah melupakan sejarah perjuangan ketika berada di pihak pembangkang dahulu.

“Tidakkah beliau dahulu juga menyertai himpunan reformasi dan mengkritik kerajaan ketika itu kerana menyekat penyertaan penjawat awam dalam demonstrasi? Apakah kini setelah berkuasa, prinsip itu berubah?” soalnya.

Dalam masa sama, katanya, PAS Johor menegaskan bahawa penjawat awam tidak seharusnya dijadikan alat mana-mana pihak berkepentingan politik.

“Mereka berkhidmat untuk rakyat dan negara, bukan menjadi pak turut kepada mana-mana pihak yang takut kepada kebenaran,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat termasuk penjawat awam agar tidak takut untuk menyatakan pendirian terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan hari ini.

“Negara ini bukan milik individu tertentu, ia milik kita bersama. Kebenaran tidak perlu ditakuti, kecuali oleh mereka yang sedang menyembunyikan kegagalan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -