Trend S-Line risiko ke arah normalisasi seks bebas

Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim
- Advertisement -

KANGAR: Ameerah Perlis menzahirkan kebimbangan serius terhadap trend tular dikenali sebagai ‘S-Line’ yang semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja dan anak muda di media sosial pada masa kini.

- Advertisement -

Ketua Ameerah Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata, trend tersebut adalah sejenis kandungan seksual terselindung yang disebarkan secara ‘gurauan’, namun membawa mesej tidak bermoral, menjijikkan dan merosakkan akhlak generasi muda.

“Lebih membimbangkan, trend ini turut disambut oleh segelintir wanita Muslim muda yang terikut-ikut dengan arus tular tanpa menyedari kesan buruk terhadap maruah diri dan persepsi masyarakat terhadap wanita secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa fenomena itu merupakan satu bentuk normalisasi budaya zina dan dosa besar yang dijadikan bahan perbualan terbuka seolah-olah tiada batasan maruah atau agama.

“Wanita akhirnya dinilai bukan lagi atas akhlak, ilmu atau peranan mereka kepada masyarakat tetapi berdasarkan nilai seksual yang sempit dan keji,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Islam amat menitikberatkan soal kesucian dan maruah diri, lebih-lebih lagi bagi golongan wanita.

Sehubungan itu, Ameerah Perlis menyeru agar ibu bapa memainkan peranan memantau kandungan yang diakses anak-anak serta menerapkan nilai maruah dan batas pergaulan dalam pendidikan di rumah.

Pihaknya turut menggesa para pendidik dan pemimpin belia untuk mempergiatkan program kesedaran akhlak, literasi digital dan pembinaan jati diri dalam kalangan remaja di sekolah dan komuniti.

“Pihak berkuasa dan pengendali platform media sosial juga wajar mengambil tindakan tegas terhadap kandungan yang secara terang-terangan atau berselindung menyebarkan budaya seks bebas,” katanya.

Dalam pada itu, Puteri Fatin turut menyeru para remaja dan wanita muda, khususnya di Perlis, agar bangkit menolak budaya songsang dan tampil sebagai wanita berprinsip serta bermaruah tinggi.

Jelas beliau lagi Ameerah Perlis akan terus komited mendidik generasi muda melalui pelbagai inisiatif dakwah, program pembangunan diri dan aktiviti komuniti agar tidak hanyut dalam arus hiburan yang melalaikan.

“Kita mesti kembali kepada identiti Muslimah sejati, menjaga akhlak, memelihara maruah dan menolak sekeras-kerasnya budaya lucah yang cuba disebarkan secara halus dalam masyarakat,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -