
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa bertindak segera dan tegas terhadap insiden buli yang dipercayai menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah berasrama baru-baru ini.
Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah, dalam kejadian yang kini mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, kejadian itu jelas menunjukkan bahawa isu buli di sekolah semakin membimbangkan dan tidak boleh lagi dianggap remeh.
“Cukup-cukuplah dengan kenyataan retorik tanpa penyelesaian tuntas. Ini bukan lagi isu kecil. Kita bercakap tentang nyawa yang telah terkorban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelaku yang terlibat perlu dikenakan hukuman tegas tanpa kompromi walaupun masih di bawah umur.
“Tiada ruang toleransi. Nyawa pelajar tidak wajar dijadikan taruhan. KPM perlu memperuntukkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah bagi tujuan pencegahan dan sebagai bahan bukti siasatan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekolah yang didapati cuai, mengambil mudah atau cuba menyembunyikan kejadian buli juga tidak boleh terlepas daripada tindakan.
“Jangan lindungi pelaku, jangan tekan mangsa. Sudah tiba masanya kita berani melakukan reformasi menyeluruh dalam menangani isu buli di sekolah,” katanya.
Ustaz Muhammad Hanif turut menyeru ibu bapa dan guru agar mendidik anak-anak untuk segera melaporkan sebarang insiden buli dan membudayakan keberanian untuk bersuara.
“Jangan tunggu lebih ramai menjadi mangsa seperti arwah Zara Qairina. Semoga Allah SWT memberikan ketabahan kepada seluruh keluarga arwah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











