
CYBERJAYA: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan kerajaan memanggil pempengaruh politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff untuk disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai satu bentuk intimidasi dan salah guna kuasa.
Beliau yang hadir mengiringi Nurul Islam ke SKMM di sini hari ini berkata, siasatan berhubung satu hantaran Facebook yang menyentuh krisis politik Thailand dan mengaitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah hantaran sarkastik politik dan tidak perlu diperbesar-besarkan.
“Yang mana kita rasakan bahawa itu hanyalah merupakan satu hantaran yang hanya sarkastik politik semata-mata dan tidak perlulah sampai peringkat kerajaan nak ‘koyak’ sampai panggil saudara Nurul Islam ini yang sedang berada di United Kingdom pada masa itu.
“Nasib baiklah beliau masa itu duduk di UK dan balik ke Malaysia dan hari ini datang kerana dipanggil oleh SKMM pada hari ini. Pada saya, saya menganggap bahawa ini merupakan tanda-tanda ketakutan kerajaan Malaysia.
“Tak boleh nak tengok ada sikit sebanyak hantaran-hantaran yang nampak boleh mempengaruhi rakyat. Mereka kenakan tekanan, intimidasi dan ini merupakan satu perkara yang menyalahi daripada apa yang mereka perjuangkan selama ini.
“Biasanya kalau buat macam ni, itu tanda kerajaan nak jatuhlah itu,” ujarnya turut menyifatkan tindakan terhadap pempengaruh sebagai bukti kerajaan semakin terdesak, khususnya menjelang Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan lusa.
Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, ia merupakan satu salah guna kuasa untuk menutup suara rakyat di mana kerajaan seolah-olah sangat terdesak.
“Kerana Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan lusa ini kita dapat maklumat mendapat respons sangat positif daripada rakyat khususnya selepas daripada pengumuman yang entah apa-apa yang telah dibuat oleh PMX semalam.
“Jadi kerajaan sebenarnya berada dalam persimpangan politik yang sangat dahsyat. Mereka cuba untuk nak gunakan pelbagai cara, pelbagai kaedah untuk menafikan kebangkitan rakyat pada hari ini.
“Dan ini benar-benar merupakan insiden yang mendedahkan wajah sebenar kerajaan kepada rakyat. Bila sampai ketika mereka berkuasa, mereka tindas pempengaruh-pempengaruh politik, para ‘influencer’ sedangkan mereka ini rakyat biasa.
“Ini rakyat biasa dan dikenakan tahanan, direman dan sebagainya, saya kira ini merupakan salah satu tanda-tanda bahawa kerajaan ini sedang menuju pemerintahan diktator jika tidak dihalang,” terangnya lagi.
Ahmad Fadhli turut menyeru rakyat turun berhimpun pada 26 Julai ini sebagai tanda kasih kepada negara dan menolak kepimpinan sedia ada.
“Pesan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, 26 Julai ini tunjukkan bahawa kita sayang pada negara ini dan sayang pada negara ini ialah dengan tidak membiarkan seorang pemimpin yang jelas sekali telah melanggar etika kepimpinannya sendiri, membongkar dan menodai segala janji yang telah diberikan kepada rakyat.
“Sayang kita kepada negara ini dengan turun pada hari Sabtu ini untuk kita tunjukkan perasaan kita, tunjukkan sokongan kepada gerakan untuk menurunkan Anwar Ibrahim daripada Perdana Menteri. Jadikan PMX sebagai ex-PM sesegera yang mungkin insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025











