PAS Sabah desak siasat skandal lesen eksplorasi mineral

Mustaman Mustain
- Advertisement -

SANDAKAN: PAS negeri mendesak pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung pemberian lesen eksplorasi mineral berskala besar di Kalabakan, Sabah.

- Advertisement -

Lesen tersebut didakwa diluluskan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador.

Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain, berkata walaupun telah dinafikan, namun maklumat berkenaan kelulusan tersebut telah pun bocor susulan dokumen minit mesyuarat melibatkan bekas CEO SMM yang kini disaman atas kes pecah amanah dan manipulasi dokumen tersebar.

Tambahnya, skandal itu jelas telah menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, integriti dan kepentingan rakyat Sabah, khususnya dalam mengurus sumber asli negeri.

“Kita mahu menuntut agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan rasmi dengan memanggil semua pihak yang terlibat dalam dokumen bocor itu untuk memberikan keterangan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kelewatan siasatan dibuat dapat membuka ruang kepada pemusnahan kekayaan bumi Sabah serta kehilangan kepercayaan rakyat.

Selain itu, ujarnya PAS negeri menggesa kerajaan negeri dan SMM wajib mendedahkan secara telus semua maklumat berkaitan penerima, pemilik, sumber dana serta rantaian pemilikan syarikat.

“Rakyat Sabah perlu tahu tentang faedah sebenar yang akan diperoleh, serta bagaimana dan untuk siapa kawasan tanah seluas 70,000 hektar ini,” tegasnya lagi.

Selain itu, tambahnya SMM perlu menjalani audit bebas dan menyeluruh oleh agensi berkecuali,

Menurutnya lagi, PAS negeri juga menuntut agar kelulusan lesen kepada syarikat terbabit digantung serta merta sehingga siasatan selesai.

“Sekiranya didapati terdapat unsur penipuan, manipulasi minit mesyuarat atau konflik kepentingan dalam pemberian lesen, semua pihak yang terlibat mesti diheret ke muka pengadilan,” kata Mustaman.

Beliau berkata lagi PAS negeri berpandangan bahawa rakyat Sabah tidak akan terus menjadi penonton dalam urusan yang melibatkan tanah dan hasil bumi negeri ini.

“Sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan terhadap kekayaan negeri ini perlu ditentang sepenuhnya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -