Kenderaan tamat hayat perlu tangani secara lebih efisien

Abdul Latif Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mempertingkat kecekapan pengurusan kenderaan tamat hayat (ELV) yang mengundang pelbagai masalah keselamatan serta kebersihan.

- Advertisement -

Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) minta kerajaan memperjelas tindakan konkrit yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu tersebut secara lebih sistematik.

“Apakah langkah yang sedang diambil oleh DBKL bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan kenderaan tamat hayat di Kuala Lumpur?

“Sejauh mana koordinasi antara DBKL bersama agensi lain berkaitan dapat membantu memperkemas proses pelupusan mengikut lunas undang-undang?” soalnya ketika mencelah pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Abdul Latif turut mencadangkan agar DBKL mempergiat usaha menceriakan lorong-lorong di pusat bandar, terutamanya di kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

Menurutnya, langkah seperti memasang lampu hiasan berwarna-warni serta memperbanyakkan lukisan mural boleh menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik, sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung.

“Kawasan itu sering menjadi lokasi pasar malam dan tumpuan ramai. DBKL boleh ambil inisiatif untuk mencahayakan lorong dengan lampu-lampu atau hasilkan mural yang indah bagi menarik pengunjung mengabadikan kenangan di sana.

“Tambahan pula, pada 26 Julai ini ramai yang dijangka turun ke kawasan tersebut. Sudah pasti akan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung,” katanya.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata DBKL ketika ini sedang meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat pelupusan kenderaan berlesen bagi memastikan pengurusan ELV lebih tersusun.

“Saya sendiri telah melawat salah satu fasiliti pelupusan berlesen, CR Medic Sdn Bhd, yang menjalankan proses pelupusan secara teratur termasuk penyenaraian komponen dan mengeluarkan sijil pemusnahan selepas proses pelupusan sah dilakukan.

“DBKL juga dalam perancangan untuk menganjurkan bengkel bersama pihak berkepentingan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), serta syarikat-syarikat rawatan akhir hayat kenderaan (ATF),” katanya.

Mengenai usaha pengindahan bandar, Zaliha berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan, terutama menjelang kepengerusian ASEAN yang berlangsung di Ibu Negara. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -