LKAN makin ‘nipis’, imej politik diutamakan?

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institusi audit perlu bebas dari segi struktur dan semangatnya, namun ia akan kehilangan peranannya apabila hanya menjadi alat pencitraan kerajaan semata-mata dan bukan penjaga amanah awam.

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) mempersoalkan sama ada imej politik semasa lebih diutamakan hingga mengorbankan integriti awam, susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dilihat semakin ‘nipis’ dan ruang siasatan yang semakin sempit.

“Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 tahun 2025 ini hanya memuatkan 196 muka surat. Ia angka paling tipis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tahun 2022 misalnya, laporan audit aktiviti kementerian dan badan berkanun mencecah 410 muka surat jilid satu dan 459 muka surat jilid dua, jumlah hampir 900 muka surat.

“Tahun 2024 pun masih kukuh dengan 350 muka surat. Ironinya, selepas pindaan Akta Audit 2019 yang mula berkuat kuasa pada tahun 2024, yang sepatutnya peluasan skop audit kepada mana-mana yang menerima dana kerajaan, laporan ini tiba-tiba mengecut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Sesi Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahmad Fadhli turut menegaskan bahawa jawatan Ketua Audit Negara tidak sepatutnya berada dalam sistem pentadbiran kerajaan yang sedang diaudit bagi membolehkannya memberi teguran tegas terhadap kementerian terlibat.

“Adalah alasan sedikit sebanyak bahawa ada justifikasi kononnya metodologi berubah dan akhirnya dan menyebabkan laporan ini semakin menipis. Persoalannya kalau metodologi berubah selepas pindaan akta audit yang sepatutnya memperluas, kenapa ia menjadi semakin kecil?

“Sebab itulah saya bimbang takut-takut kerana Jabatan Audit ini, mereka tak sempat nak buat laporan yang menyeluruh, sibuk dengan program Santuni Madani dan sebagainya. Jadi, saya rasa kena balik kepada fokusnya yang sebenar,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu mempersoalkan sama ada teguran daripada wakil Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan berhubung perolehan yang dilakukan oleh FELCRA Berhad telah diabaikan oleh kerajaan.

“Siapa begitu berkuasa mampu menolak pandangan dua kementerian utama ini? Adakah ini arahan daripada atas? Kalau ya, orang politik mana yang mendesak supaya pembeli ini diteruskan walaupun laporan daya maju menyatakan risiko tanah yang tinggi dan hasil yang rendah?

“Jadi kalau penjawat awam sendiri tidak diberikan saluran bebas untuk melaporkan kelemahan sebelum sesuatu perolehan pengadil dibuat, maka selamanya kita hanya akan dapat tahu selepas skandal ini bocor dalam laporan audit.

“Sudah terlambat dan duit rakyat sudah pun lesap. Sebab itu sekarang FELCRA menanggung kos pemulihan berjuta-juta ringgit dengan titik pulangan modal 16 hingga 22 tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -