Dua lokasi dipilih lombong NR REE pertama Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua lokasi di Gua Musang telah dikenal pasti bagi memulakan aktiviti perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) selepas menandatangani perjanjian bersama Lynas Malaysia.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, dalam hal itu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diberi tanggungjawab untuk bekerjasama meneroka deposit NR-REE kedua terbesar di negara ini.

“Alhamdulillah kita negeri yang kedua paling banyak NR REE di Malaysia, setakat ini kita bergerak agak jauh ke hadapan dalam soal NR REE ini dan agensi kita PMBK telah menandatangani satu MoU dengan Lynas Malaysia.

“Kita sekarang ini dalam proses terakhir menandatangani satu perjanjian dengan Lynas untuk mengeluarkan hasil daripada dua kawasan dikenal pasti di Gua Musang, walaupun masih tertakluk polisi Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Pada persidangan pagi tadi, Mohd Azmawi Fikri meminta penjelasan kerajaan negeri bagaimana pemantauan dilakukan pihak berkuasa negeri, pastikan NR REE tidak dibawa keluar secara tidak sah oleh pihak berkenaan.

Mohamed Fadzli (PN-Temangan) berkata, kerajaan negeri juga menyambut baik polisi yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan yang tidak membenarkan hasil NR REE dibawa keluar dari negara kita untuk diproses.

Sebaliknya beliau menekankan kepentingan penggunaan teknologi dan juga kepakaran tempatan selain membolehkan negeri mendapat keuntungan lebih besar dan rakyat turut mendapat limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Kita sangat setuju dengan dasar tersebut dan kita nak supaya hasil NR REE ini kita dapat sepenuhnya, semaksimanya keuntungan yang paling maksimum untuk negeri, faedah rakyat kita sendiri.

“Ini secara ‘upstream’ dan ‘downstream’ kita tak nak jual macam itu sahaja, kalau jual macam itu sahaja sekali sahaja kita dapat untung tetapi kita nak supaya kita boleh proses di sini kilang di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -