Ketua Audit Negara perlu bebas dari pengaruh eksekutif

Dr Ronald Kiandee
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatan Ketua Audit Negara perlu bebas daripada sebarang pengaruh termasuk daripada pihak eksekutif bagi memastikan ketelusan sepenuhnya dalam pelaksanaan tugas.

- Advertisement -

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN–Beluran) membangkitkan persoalan sama ada jawatan tersebut pada masa ini memenuhi semua syarat dan kriteria bagi menjamin kebebasannya daripada pentadbiran negara.

“Dalam pembentukan negara kita pada 1963 meletakkan kedudukan Ketua Audit sebagai satu kedudukan yang bebas, tidak dipengaruhi oleh eksekutif. Malah disamaratakan dengan kedudukan peguam-peguam negara kita. Itulah ‘spirit’ pelantikan Ketua Audit Negara.

“Ketua Audit Negara masih, sehingga kini adalah penjawat awam. Tempoh khidmat beliau masih lagi ada lima, enam tahun sebelum bersara. Sebab itu di kalangan Ketua-Ketua Audit Negara sebelum ini dilantik di kalangan mereka yang telah bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian di dalam Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ronald turut mempersoalkan sama ada jawatan berkenaan masih terikat dengan pendekatan 3P1K, iaitu Pembaziran, Penyelewengan, Pemborosan dan Ketirisan wang awam.

“Ketua Audit sekarang ini memilih untuk tidak hadir dalam prosiding yang dibuat oleh PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara), ataupun menghantar wakil dalam prosiding PAC. Jabatan Audit merupakan ‘ex-officio’ yang perlu hadir dalam setiap prosiding PAC.

“Bukan sahaja pegawai-pegawai Jabatan Audit sekarang ini diminta untuk mengaudit, tetapi beberapa pendekatan baru umpamanya kakitangan-kakitangan Jabatan Audit diminta untuk hadir dalam semua ‘function’ Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -