Persoal Ketua Audit mohon dikecualikan hadir sidang PAC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mempersoalkan tindakan Ketua Audit Negara yang memohon pengecualian daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi isu-isu yang tidak melibatkan laporan Ketua Audit Negara.

- Advertisement -

Ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa kehadiran wakil Jabatan Audit Negara dalam mesyuarat PAC merupakan keperluan institusi yang penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam negara.

“Saya amat terkejut apabila menerima surat daripada Ketua Audit Negara yang menyatakan pandangan untuk tidak menghadiri mesyuarat PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d). Saya berpandangan tindakan ini amat luar biasa kerana ia tidak pernah berlaku di zaman mana-mana Ketua Audit sebelum ini,” ujarnya.

Menurut beliau, peranan Jabatan Audit Negara dalam mesyuarat PAC bukan sebagai pihak disiasat, tetapi sebagai penasihat teknikal yang memberikan pandangan profesional, bebas dan membantu PAC memahami serta meneliti laporan audit dengan lebih mendalam.

“Penglibatan mereka adalah penting dalam memperkukuhkan ketelusan, meningkatkan keberkesanan pemantauan serta menjadi sumber sokongan teknikal kepada PAC. Kehadiran mereka bukan konflik kepentingan, tetapi keperluan institusi,” tegas beliau.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung penggunaan istilah ‘ketakteraturan serius’ dalam laporan audit tahun 2025 dan meminta penjelasan mengenai takrifan istilah tersebut serta rujukan undang-undang atau garis panduan yang digunakan dalam membuat penilaian.

“Ketika ini kita lihat laporan hanya menyebut ketakteraturan, sedangkan dahulu pendekatan yang digunakan ialah 3P dan 1K iaitu pembaziran, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan. Jadi apakah kriteria yang digunakan sekarang, dan bagaimana ia diukur supaya tidak dimanipulasi?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur laporan media yang didakwa kurang tepat berkaitan nilai ketakteraturan yang dibangkitkan, apabila media melaporkan angka RM460 juta sebagai nilai ketakteraturan, sedangkan angka itu merujuk kepada keseluruhan nilai projek.

“Oleh itu, saya ingin tahu bagaimana Jabatan Audit Negara memastikan ketepatan maklumat sebelum dibentangkan di Parlimen, apakah mekanisme semakan semula yang ada dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan ketelusan serta mengelakkan salah tafsir dalam laporan mereka,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar Jabatan Audit Negara terus memainkan peranan penting secara telus dan berintegriti demi menjaga kepentingan rakyat dan kewangan negara. – HARAKAHDAILY 23/7/2025

- Advertisement -