Teruskan sehingga Kelantan bersih sebersih-bersihnya

Tahniah PDRM!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari memuji tindakan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan yang menyerbu pesta gay, sambil menyifatkannya sebagai langkah mempertahankan maruah negeri dan perlu diteruskan sehingga budaya songsang itu lenyap sepenuhnya.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, tindakan tersebut wajar dipuji dan berharap agar usaha membanteras budaya berkenaan dilaksanakan secara konsisten hingga ke akar umbi.

“Tahniah kepada Polis Kelantan atas tindakan tegas menyerbu pesta gay yang mencemarkan maruah negeri. Usaha ini wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang ini lenyap dari bumi Kelantan.

“Kita berharap polis terus konsisten, banteras budaya ini hingga ke akar umbi. Kerajaan Kelantan juga wajar diberikan lebih ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala ini tanpa sebarang sekatan,” ujarnya dalam media sosial miliknya hari ini.

Beliau turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari 2021 yang membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.

“Justeru, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” gesanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan, lebih-lebih lagi berlaku di negeri Kelantan yang sinonim dengan gelaran Serambi Makkah.

“Namun, yang lebih penting daripada rasa malu itu ialah keberanian untuk membasmi kemungkaran. Ubat memang pahit, tetapi selagi penyakit masih bersarang, kita wajib memaksa diri untuk menelannya,” ulasnya.

Menurutnya, sikap segelintir pihak yang menyifatkan kejadian itu mengaibkan hanya kerana ia berlaku di Kelantan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelak tindakan tegas.

“Ia memalukan kerana berlaku di Kelantan. Jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018, atau parti Halloween LGBT pada Oktober 2022, di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023.

“Bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022 di mana polis menemui kondom, pelincir, dan dadah jenis ketamin, tentu ia tidak memalukan. Bahkan itu dianggap biasa.

“Tetapi apabila ia berlaku di Kelantan, maka ia dikata mengaibkan. Namun begitu, yang lebih utama ialah tindakan berani membanterasnya, bukan menutup mata demi menjaga persepsi.

“Sekali lagi tahniah PDRM! Teruskan sehingga Kelantan bersih sebersih-bersihnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -