Ada ‘pengumuman besar’ dari Alor Setar malam ini?

Sejarah tercipta di bumi Kedah: Tiga negarawan sepentas

- Advertisement -

ALOR SETAR: Himpunan Mandat Negarawan mungkin akan melakar titik penting sejarah politik tanah air yang tidak akan dilupakan rakyat Malaysia pada program akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini malam ini.

- Advertisement -

Tiga tokoh besar negara, iaitu bekas Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan tampil sepentas menyampaikan amanat.

Tun Dr Mahathir, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 minggu lalu, malam ini berusia 107 hari yang kehadirannya mencetuskan rasa hormat terhadap legasi kepimpinan dan pengorbanan beliau terhadap negara sejak berdekad lamanya.

Turut menyampaikan pidato penuh makna ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, tokoh yang dikenang rakyat kerana ketegasannya ketika krisis pandemik COVID-19 dan jasanya mengangkat suara rakyat melalui pelbagai inisiatif prihatin.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tokoh ulama dan pemimpin gerakan Islam yang tidak asing lagi di Malaysia, bahkan juga dunia sejagat dalam perjuangannya memimpin umat dengan agenda Islam.

Turut akan hadir menyampaikan ucapan ialah Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menambah kemeriahan dan kekuatan himpunan ialah kehadiran para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara, antara mereka termasuk Presiden Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Juga Presiden Persatuan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Dato’ Kasturi Dato’ Raja Abdul Majid dan Presiden Pertubuhan Kebajikan serta Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Dato’ Fuad Mat Isa; dan Presiden Suara Orang Muda (SOM), Dato’ Marzuki Yahya.

Selain Pengerusi Gabungan Rakyat Harmoni Malaysia (GERAHAM), Ustaz Noor Hakimi Ab Halim dan Pengerusi Majlis Ayahanda Ayahanda Kedah (MAAK), Dato’ Mazlan Safar; serta pemimpin dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), dan Sekretariat Rakyat.

Sebelum bermulanya acara utama, majlis akan mengadakan Munajat Perdana yang berlangsung sejurus selepas solat Maghrib.

Dengan tema pakaian serba hitam, lautan manusia bakal memenuhi stadium malam ini menjadi simbol kesatuan rakyat yang bersedia bangkit menuntut perubahan.

Tidak hanya menjadi saksi kepada ucapan-ucapan besar, malam ini turut mencatatkan sejarah apabila rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang tampil bersama menyuarakan tekad untuk melihat Malaysia yang lebih adil, bermaruah dan berdaulat.

Dari bumi Kedah, gema perjuangan dan penyatuan rakyat mula bergetar ke seluruh negara di mana himpunan ini bukan sekadar peristiwa, tetapi permulaan kepada sebuah kebangkitan besar untuk masa depan tanah air tercinta. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -