Kontinjen PASTI Perlis tekad ‘ghempoh’ BSBJ 2025

- Advertisement -

KANGAR: Kontinjen Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) Negeri Perlis hari ini selamat berangkat ke Kuantan, Pahang bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring Malaysia 2025 (BSBJ) yang bakal berlangsung pada 18 Julai di Stadium Futsal Polo IM8.

- Advertisement -

Majlis pelepasan kontinjen tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Senator Baharuddin Ahmad di Kompleks Tarbiyah PAS Negeri Perlis (KOMPAS), di sini pagi tadi.

Turut hadir memberikan suntikan semangat ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun.

“InsyaAllah, Perlis bersedia untuk menjadi johan bola sepak dan bola jaring sukan PASTI kali ini. Saksikan Singa Utara akan membaham Gajah di bumi Tok Janggut ini,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri.

Kontinjen Perlis kali ini terdiri daripada dua pasukan utama iaitu 10 pemain bagi pasukan bola sepak dan 10 pemain bagi pasukan bola jaring.

Majlis pelepasan turut diserikan dengan bacaan doa bagi memohon keselamatan perjalanan dan kejayaan pasukan.

Berbekalkan latihan intensif, semangat juang tinggi serta ikatan ukhuwah yang erat, kontinjen ini bertekad untuk mengharumkan nama negeri Perlis di kejohanan peringkat kebangsaan itu.

Kejohanan BSBJ merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pasukan bola sepak dan bola jaring PASTI dari seluruh negara dan menjadi platform penting untuk mencungkil bakat-bakat cilik serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid prasekolah.

Selari dengan falsafah pendidikan PASTI, penyertaan dalam kejohanan ini membuktikan komitmen institusi tersebut dalam membangunkan potensi menyeluruh pelajar bukan sahaja dari segi akademik, bahkan merangkumi aspek fizikal, kerohanian dan sahsiah.

Untuk rekod, edisi BSBJ 2024 telah berlangsung di Balik Pulau, Pulau Pinang pada 23 hingga 24 Ogos dengan penyertaan 26 pasukan dari 13 negeri.

Selangor muncul sebagai juara keseluruhan dengan menjuarai acara bola sepak serta meraih naib juara dalam bola jaring manakala Wilayah Persekutuan pula menjuarai kategori bola jaring dan Perak menduduki tempat kedua dalam acara bola sepak.

Beberapa pemain cilik turut mencuri tumpuan, antaranya adik Aryan Awwadi Airul Azhar (PASTI Selangor) yang dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Bola Sepak.

Dalam kategori bola jaring pula, gelaran Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak masing-masing disandang oleh adik Nurul Ainul Mardhiah Abdul Hamin dan adik Sumayyah Mohd Hazri dari PASTI Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -