
GOMBAK: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh ahli PAS bahawa perjuangan tidak boleh dihentikan selagi jantung berdenyut kerana tidak ada persaraan dalam perjuangan Islam.
Justeru katanya, peranan Assabiqun sangat penting dalam perjuangan kerana ia menjadi salah satu daripada mata rantai perjuangan Islam.
Menurut beliau, mata rantai memerlukan sambung menyambung dengan mereka yang terdahulu dalam perjuangan Islam bersama generasi pada hari ini berada dalam bahtera PAS.
“Mereka perlu mendokong bersama dengan memberi nasihat dan pengalaman kepada generasi kemudian. Assabiqun merupakan kumpulan Islam yang tidak pernah putus asa.
“Kumpulan Islam yang memenuhi ciri-ciri sifat sifat yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat al Quran,” katanya dalam ucapan melalui rakaman di Majlis Makan Malam anjuran Assabiqun PAS Pusat, di Dewan Dato’ Fadzil Noor, di sini baru-baru ini.
Tuan Guru berkata, Assabiqun yang menyambung perjuangan Islam tidak mati atau terhenti dengan wafatnya Rasulullah SAW, para Sahabat dan tabiin.
Menurut beliau, seterusnya perjuangan itu termasuklah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang ditubuhkan pada tahun 1951.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Assabiqun adalah mata rantai dalam PAS yang berjuang melalui perjuangan menghadapi pelbagai ujian daripada Allah SWT.
Beliau mengingatkan bahawa sekiranya perjuangan itu macam benda yang dapat dilihat dan boleh tahu bila hendak mencapai kemenangan, nescaya ramailah orang yang mengikuti Nabi Muhammad SAW.
Namun katanya, untuk mencapai kemenangan itu sukar dan ia memerlukan beberapa generasi yang terus menyambung perjuangan Islam.
“Kita perlu memberi sumbangan kepada kumpulan ini kerana ia termasuk dalam sumbangan fisabillah yang diganda pahalanya sehingga 700 kali ganda,” katanya.
Beliau bersyukur kepada Allah kerana diberi kesempatan untuk menyambung tugas dan dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong PAS yang mendoakan kesihatannya.
Turut hadir Mursyidul Am, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Man serta Naib Presiden, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











