
JOHOR BAHRU: Tindakan PKR membuat laporan polis bagi menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar dilihat suatu tindakan yang memalukan dan mencerminkan kepincangan prinsip perjuangan parti itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru, Arif Ainuddin Mohd Razali berkata, tindakan itu merupakan satu ironi kerana parti yang lahir dari semangat jalanan kini takut dengan suara rakyat melalui saluran sama.
“Dulu mereka melaungkan hak berhimpun sebagai suara keramat rakyat, hari ini mereka labelkan ia sebagai ancaman yang menggugat. Dulu mereka ke hadapan memimpin himpunan, kini mereka ke balai membuat aduan.
“Ini adalah soal prinsip. Apatah lagi ia adalah prinsip yang PKR sendiri pernah perjuang dan pertahankan. Ketika polis mengambil tindakan ke atas mereka, mereka kata mereka dizalimi.
“Hari ini, mereka ke balai polis untuk menghalang rakyat yang mahu bersuara. Ironi ini terlalu besar untuk ditelan dan terlalu jelas untuk dinafikan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Tambah beliau, lebih mengecewakan apabila tindakan itu datang daripada kerajaan yang dahulu lantang melaungkan slogan ‘Reformasi’ namun kini bertindak sebaliknya, sambil mempersoalkan makna sebenar ‘reformasi’ yang dilaungkan parti tersebut.
“Kelihatan seperti mereka ini sedang meludah-ludah perjuangan reformasi mereka sendiri. Dengar sini PKR. Kami tidak gentar dengan laporan yang dilakukan. Kami percaya himpunan aman bukan ancaman kepada kestabilan.
“Kami akan terus berhimpun walaupun berpuluh laporan polis dilakukan kerana ia adalah hak rakyat yang dijamin di dalam perlembagaan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berkait seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman baru-baru ini,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk turut serta dalam Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang menyasarkan seramai 300,000 peserta.
“Himpunan ini adalah himpunan rakyat yang inginkan pemimpin yang bersih, yang berani berdepan dengan dakwaan, yang mengotakan janji, yang tidak hanya pandai berpidato, yang tidak mengintimidasi dengan kuasa dan yang mampu membawa perubahan. Dan Anwar bukanlah pemimpin ini,” katanya.
Terdahulu, beberapa penyokong dan pimpinan akar umbi PKR dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung penganjuran himpunan berkenaan yang didakwa menggugat kestabilan negara dan mencemarkan imej Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











