
GEORGE TOWN: Ketika rakyat dihimpit pelbagai tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barang, lonjakan tarif elektrik dan penarikan subsidi, kempen kerajaan bertemakan ‘Kalau Sayang, Bantulah PMX’ disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap penderitaan rakyat.
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid menyelar kempen tersebut yang menurutnya hanya memperbodohkan rakyat yang saban hari terpaksa berjimat demi kelangsungan hidup.
“Kenapa rakyat perlu bantu Perdana Menteri yang gagal bantu rakyat? Harga barang naik, tarif elektrik mencanak, subsidi ditarik, cukai pula makin membebankan, tiba-tiba rakyat pula diajak bantu kerajaan?
“Cukuplah dengan retorik! Segala keputusan seperti kenaikan tarif, penarikan subsidi dan peluasan SST semuanya menekan golongan B40 dan M40,” katanya.
Tambah beliau, pemimpin Kerajaan Madani tidak wajar terus berkempen dengan slogan manis semata-mata, sedangkan mereka sendiri selesa dalam kemewahan dan tidak merasai denyut nadi rakyat marhaen.
“Kerajaan yang benar-benar adil adalah kerajaan yang membela rakyat, bukan menyusahkan rakyat. Saya tolak untuk membantu pemimpin yang gagal jalankan amanah. Rakyat perlukan pemimpin yang sayang rakyat, bukan minta rakyat sayang pemimpin,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebangkitan rakyat akan menjadi realiti sekiranya suara mereka terus tidak didengari.
“Saya pilih untuk bersama rakyat. Saya pilih untuk lawan ketidakadilan. Jangan tipu rakyat dengan kempen emosi. Rakyat bukan alat politik. Rakyat ialah hakim negara!
“Suara rakyat adalah suara keramat. Hidup rakyat! Lawan tetap lawan!” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











