Waspada konsultasi yang rosakkan akidah, akhlak

Program ‘intensif kasih sayang’ perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Kawasan Selayang menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan dan tindakan tegas ke atas program ‘intensif kasih sayang’ yang tular baru-baru ini.

- Advertisement -

Ia berikutan kerana dikatakan mengandungi unsur keraguan dari sudut akidah serta salah laku yang bercanggah dengan nilai Islam dan moral masyarakat Malaysia.

Dewan itu menyokong gesaan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan menyiasat segera beberapa dakwaan yang timbul terhadap program berkenaan.

“Dewan Ulamak PAS Kawasan Selayang memandang serius isu yang tular melibatkan program tersebut yang dilaporkan membawa unsur keraguan dari sudut akidah, serta salah laku yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan moral masyarakat Malaysia,” ujar kenyataan itu.

Katanya, antara dakwaan yang diketengahkan ialah isu akidah, apabila terdapat unsur ‘New Religious Movement’ serta pengaruh amalan agama lain, sekali gus menegaskan jika perkara itu benar, ia bukan sekadar isu moral tetapi melibatkan kesucian akidah umat Islam.

Mereka berkata, turut dibangkitkan ialah dakwaan berhubung galakan kepada unsur seksual termasuk perbincangan terbuka mengenai masturbasi dan teknik seksual serta penggunaan ajaran asing seperti ‘Yoni Massage’ dan ‘Tantra’.

“Teknik ini tidak ada dalam ajaran Islam, malah bercanggah dengan prinsip kesucian dalam agama. Ia amat membimbangkan dan perlu dihentikan segera,” tegasnya.

Dewan itu juga mengecam pendekatan program yang mencemarkan kesucian ilmu rumah tangga serta tidak mengikut panduan syarak.

“Kaedah serta pendekatan yang digunakan dalam program ini bukan sahaja melanggar batasan agama, malah mencemarkan kesucian ilmu rumah tangga yang sepatutnya disampaikan oleh golongan yang bertauliah dan mengikut panduan syarak,” jelasnya.

Mereka juga memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Jasiah ayat 23 sebagai amaran terhadap golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai panduan hidup, dan menyifatkan fenomena itu sebagai sebahagian daripada gejala hedonisme.

Kenyataan itu juga memetik pandangan Ibnu Khaldun yang merumuskan bahawa keruntuhan akhlak adalah petanda kehancuran sesebuah tamadun.

“Apabila manusia rosak dengan kemewahan dan akhlak yang buruk, maka tamadun akan runtuh dan lenyap,” ujarnya memetik ungkapan Ibnu Khaldun.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Kawasan Selayang menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya merendahkan martabat diri dengan pendekatan songsang demi mencari ‘cinta’, lebih-lebih lagi jika ia melanggar batas halal dan haram yang ditetapkan Allah SWT.

“Kami menyeru agar orang ramai berwaspada dan tidak terpedaya dengan program-program yang mengaburi mata dengan ‘kasih sayang’, tetapi hakikatnya merosakkan akidah dan akhlak masyarakat. Menolak kemungkaran adalah tanggungjawab bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -