Anwar ada kes mahkamah tidak layak lantik hakim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah hilang kelayakan moral dan perundangan untuk mencadangkan pelantikan hakim-hakim tertinggi negara berikutan konflik kepentingan yang jelas.

- Advertisement -

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia secara prinsipnya menuntut pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 122B mengatakan bahawa Hakim Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, meskipun proses Perlembagaan itu harus dihormati, persoalan utama kini ialah kelayakan Perdana Menteri sendiri untuk memberi nasihat tersebut.

“Apabila timbul isu nak lantik hakim yang mana kuasa eksklusifnya ada pada Perdana Menteri, kita sebagai rakyat mempersoalkan status pada Perdana Menteri sekarang ini yang pada pandangan kita hilang kelayakan untuk menggunakan kuasa eksklusif.

“Oleh kerana Perdana Menteri ke-10 sekarang ini mempunyai konflik kepentingan dengan kehakiman di mana beliau mempunyai kes yang masih belum selesai di mahkamah, kes terhadap beliau dan ada orang menyaman beliau.

“Sebagai contoh kes bekas pembantu penyelidik, Muhamed Yusoff Rawther dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kemudian kes beliau menyaman Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tidak munasabah untuk membenarkan seorang individu yang terlibat secara langsung dengan proses kehakiman menjadi pihak yang mencadangkan pelantikan hakim.

“Bagaimana seorang yang mempunyai kes yang belum selesai di mahkamah nak lantik hakim? Bagaimana hakim yang beliau nak lantik itu mendengar kes beliau? Jadi itu dipanggil konflik bercanggah kepentingan.

“Jadi kita dengar bahawa Perdana Menteri ke-10 ini telah hilang kelayakan dalam soal lantikan hakim-hakim,” katanya.

Sehubungan itu, Takiyuddin menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini sebagai tanda bantahan terhadap apa yang disifatkan sebagai pencabulan prinsip keadilan.

“Rakyat harus bangkit untuk menyatakan pendirian dan juga rasa hati, selain daripada banyak isu dihadapi seperti masalah ekonomi, sosial yang berlaku, begitu juga masalah kehakiman ini sendiri.

“Keadilan cukup penting kepada rakyat, tanpa institusi kehakiman kerusi keadilan akan berlaku banyak masalah kepada rakyat. Mahkamah adalah benteng terakhir kepada rakyat jelata untuk mendapatkan keadilan dan perhakiman yang adil.

“Jadi saya menyeru rakyat Malaysia untuk turun pada Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini terhadap kerajaan hari ini. Kebangkitan rakyat menentang kezaliman Turun Anwar,” katanya.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri.

Perarakan sejauh 2.6 kilometer bermula jam 2 petang pada Isnin lalu berakhir dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.

Tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman dan mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.

Juga membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -