
PUTRAJAYA: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Putrajaya menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya agar mengambil langkah tegas dengan menguatkuasakan pengharaman rokok elektronik atau vape di wilayah itu.
Ketua Penerangan, Mior Isfandy Mior Azizan berkata, ia sebagai satu langkah proaktif untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan hidup warga Putrajaya terutama dalam kalangan anak muda lebih terjamin.
“Sehingga kini, enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang telah mengambil langkah bijak mengharamkan e-rokok dan vape. Beberapa negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang pula akan menyusul.
“Kini, KWP terutama Perbadanan Putrajaya wajar mengambil inisiatif untuk mengharamkan e-rokok dan vape di Putrajaya kerana ia mengandungi bahan berbahaya dan memudaratkan rakyat dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu memetik laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 yang mendedahkan sebanyak 14.9 peratus atau kira-kira 330,000 pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 17 tahun merupakan pengguna vape.
“Malah, lebih baik dalam perkembangan semasa ini, kerajaan memperuntuk semula empat perkara yang digugurkan dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 iaitu berkait dengan larangan penjualan produk tembakau.
“Larangan penjualan bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya GEG (Generasi Penamat Rokok).
“Putrajaya bukan hanya wajar dikenali sebagai sebuah bandar pintar, hijau dan moden sahaja tetapi juga mengamalkan budaya hidup sihat serta selari dengan Maqasid al-Syariah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











