‘Turun Anwar’: Rakyat bangkit tolak kegagalan kerajaan

Fauzi Abu Bakar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) perlu berundur daripada jawatan bagi mengelakkan ekonomi negara terus merosot akibat kegagalan kerajaan di bawah pimpinan beliau.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, LAr Fauzi Abu Bakar berkata, hala tuju ekonomi negara ketika ini semakin membimbangkan berikutan gejala rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa.

“Bagaimana kita nak bangunkan negara selagi sistem pentadbiran, ekonomi, perniagaan dan polisi negara kita rosak, dengan adanya tarif Amerika Syarikat yang belum kita rasai kesannya.

“Oleh kerana kerajaan gagal meneliti bagaimana nak menguruskan tarif antarabangsa ini, harga barangan kita akan menjadi tidak kompetitif lagi. Harga barangan kita akan menjadi mahal.

“Maka negara-negara pengimport barangan kita akan memilih barangan yang dikeluarkan oleh negara selain daripada Malaysia,” katanya dalam Himpunan ‘Turun Anwar’ Peringkat Lembah Pantai, di sini hari ini.

Pemimpin PAS Wilayah Persekutuan yang turut hadir ialah Ketua Dewan Muslimat, Dr Rosni Adam, Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz dan Ketua Pemuda, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar sama-sama turun berhimpun ke Himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti rakyat.

“Tanpa mengira kaum, status, parti warna kulit dan sebagainya, marilah kita sama pergi ke tempat di mana PMX sebelum ini memulakan reformasi yang dijanjikan, kita akan jatuhkan Anwar.

“Sama-sama kita berkumpul di Masjid Negara bagi yang hadir daripada Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk kita bergerak sama-sama menuju ke Dataran Merdeka,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2025

- Advertisement -