Negara dibina atas dasar keadilan bukan politik dendam

Ayub Ashri
- Advertisement -

KUANTAN: Pembangunan dan peruntukan kepada negeri seharusnya menjadi hak rakyat, bukan dijadikan alat tawar-menawar politik, tegas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, Ayub Ashri.

- Advertisement -

Menurut beliau, kenyataan yang mengaitkan pembangunan negeri dengan sokongan politik kepada kerajaan pusat memperlihatkan kegagalan memahami semangat federalisme yang menjadi asas pembentukan Malaysia sejak 1963.

Katanya, ia memberi gambaran kononnya peruntukan Persekutuan kepada negeri adalah satu bentuk ‘ihsan’ politik bukan tanggungjawab Perlembagaan.

“Realitinya, semua hasil utama negara termasuk minyak, gas, cukai pendapatan, SST, cukai perkhidmatan, duti kastam, saman dan pelbagai hasil lain dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Negeri hanya tinggal hasil tanah, hasil hutan, cukai premis dan air.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab sah Persekutuan untuk menyalurkan semula peruntukan kepada negeri, tanpa mengira siapa yang memerintah negeri tersebut.

“Peruntukan kepada negeri bukan hadiah politik. Ia bukan bonus suka-suka daripada menteri. Ia adalah hak rakyat yang dijamin dalam struktur federalisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, apabila pemimpin pusat menyatakan pembangunan hanya akan berlaku jika negeri menyokong mereka, itu jelas satu bentuk tekanan politik yang tidak bermaruah.

“Sebagai contoh, Kelantan dan Terengganu telah berdekad ditadbir PAS dalam keadaan serba kekurangan, namun mereka tetap berdiri, tetap membangun, tetap berkhidmat untuk rakyat.

“Sedangkan royalti minyak yang sepatutnya mereka terima masih terus dipolitikkan. Bukankah itu satu pengkhianatan terhadap semangat Perlembagaan? Lebih baik kita tanya ke mana hasil minyak Kelantan dan Terengganu selama ini pergi?

“Mengapa royalti dibayar dalam bentuk ‘wang ehsan’ yang disalur ikut suka? Adakah negeri pembangkang tidak layak untuk hidup bermaruah? Negara ini dibina atas dasar keadilan bukan politik dendam,” ujarnya.

Ayub yang juga Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Paya Besar berkata, kerajaan sepatutnya berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira sokongan politik.

“Jika benar kerajaan ini kerajaan MADANI, maka buktikanlah dengan berlaku adil kepada semua rakyat, bukan hanya yang menyokong anda. Pembangunan adalah hak rakyat. Ia tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2025

- Advertisement -