Terengganu akan bincang lanjut isu kenaikan tarif air

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama operator air di negeri lain sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan permohonan kenaikan tarif air yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa SPAN telah menerima permohonan tersebut dan sedang menilai langkah seterusnya.

“SPAN sudah memaklumkan perkara ini dan kita akan berbincang dengan operator-operator air di negeri lain bagi menentukan tindakan susulan.

“Buat masa ini, saya boleh katakan begitu dahulu dan kita akan keluarkan kenyataan rasmi pada masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Madani Rakyat Terengganu di Pasar Payang di sini, semalam. (Foto atas)

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAN berhubung permohonan pelarasan tarif air yang dipohon 10 negeri termasuk Terengganu.

Mengulas mengenai kebaikan kepada kerajaan negeri, beliau berkata, kenaikan tarif air berpotensi membantu memperkukuh operasi syarikat air di Terengganu, khususnya dalam melaksanakan perbelanjaan modal (CapEx) seperti penggantian paip lama dan kerja-kerja penyelenggaraan yang telah lama tertangguh.

“Kalau dilihat, kenaikan tarif ini boleh menyokong kelangsungan operasi syarikat air dan membolehkan projek penggantian paip lama serta penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, cadangan semakan semula tarif air yang dikemukakan Syarikat Air Terengganu (SATU) penting untuk menjamin kelangsungan industri air dalam jangka panjang.

“Terengganu menyambut baik langkah ini yang membuktikan komitmen bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu berkaitan perkhidmatan air, khususnya melalui penaiktarafan aset uzur dan penggantian paip usang.

“la sekali gus memberi risiko terhadap tahap perkhidmatan operator air dan menjejaskan kepentingan pengguna,” ujarnya.

Menurut Hanafiah, pelarasan tarif itu diperlukan bagi memastikan industri perkhidmatan air kekal mampan dan rakyat terus menikmati perkhidmatan bekalan air yang berkualiti.

“Pihak kerajaan negeri komited memastikan pelarasan tarif air ini tidak akan membebankan rakyat.

“Justeru itu, kami berharap agar permohonan berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, SPAN mengesahkan telah menerima permohonan daripada sembilan lagi operator perkhidmatan bekalan air iaitu
Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Kesemua permohonan berkenaan masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan. – HARAKAHDAILY 13/7/2025

- Advertisement -