
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disarankan turun padang bagi memahami serta merasai sendiri kesusahan yang ditanggung rakyat akibat pelbagai beban yang menekan kehidupan mereka.
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz berkata, tiada perkembangan positif dapat dilihat daripada kerajaan MADANI yang kini memasuki tahun ketiga pemerintahannya.
“Dari hari pertama beliau mengambil alih pemerintahan kerajaan, badan-badan bebas telah memberikan ‘report card’, yang laporannya bersifat gagal sama ada D ataupun E.
“Di mana reformasi yang beliau laungkan? Sebab itu beliau mesti turun melihat jerit perih rakyat ketika ini,” katanya dalam Himpunan ‘Turun Anwar’ Peringkat Lembah Pantai, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu menyentuh isu rampasan tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang dilaporkan telah mendapat arahan untuk mengosongkan sepenuhnya kediaman mereka pada 16 Julai ini.
“Di mana suara kerajaan ketika ini, ketika mana pampasan tidak diberikan secara adil kepada penduduk. Ketika mana notis pemindahan diberikan kepada mereka tanpa diberikan ruang yang cukup.
“Inilah yang kita suarakan. Bukankah mereka semua orang Melayu seperti mana yang dilaungkan PMX? Di mana suara kerajaan? Apa jaminan untuk orang Melayu di Lembah Pantai dan Kuala Lumpur?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin bagi membuktikan mereka benar-benar memiliki keabsahan untuk memerintah negara ini.
“Tidak lama lagi PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, kita mahu orang-orang Sabah buktikan bahawa kerajaan yang dipimpin PMX dan parti-parti sekutunya adalah parti yang tidak boleh dipercayai,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2025











