
PENGARUH dunia digital tanpa sempadan hari ini, satu fenomena yang semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita ialah kecenderungan mempamerkan pakaian termasuk jubah di hadapan kamera untuk dikongsikan di media sosial atas nama trend atau ‘content’.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Ustazah Nadiyah Hashim berkata, apa yang kini dianggap normal itu sebenarnya mencarik adat serta melanggar batasan syariah.
“Malu adalah sebahagian daripada iman. Ia bermaksud menjaga maruah diri daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat dan adat yang mulia, terutamanya di khalayak,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurut beliau, berbeza dengan wanita dahulu yang sangat menjaga adab, termasuk ketika menjemur pakaian pun merasa malu jika dilihat orang, hari ini masyarakat semakin hilang sifat malu kerana segala-galanya mahu ditonjolkan dan diviralkan.
Tambah beliau, perbuatan mempamerkan diri dalam pakaian, meskipun menutup aurat seperti jubah, tetap perlu dilihat dalam konteks adab dan niat.
“Trend seperti ‘unboxing’ atau memperagakan pakaian secara ‘live’ atau video telah melampaui batas apabila ia secara terbuka dikongsi di platform awam.
“Walaupun kita rasa hanya wanita menonton, atau pengikut kita tidak ramai, perlu diingat bahawa apa sahaja yang dimuat naik ke media sosial kekal berada di alam maya dan boleh diakses oleh sesiapa termasuk ajnabi,” jelas beliau.
Ustazah Nadiyah turut memetik hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari berkaitan perasaan malu.
“Sesungguhnya antara ajaran kenabian yang terdahulu yang masih diketahui manusia ialah jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesukamu,” jelasnya.
Beliau menyeru wanita Islam untuk memelihara maruah dan akhlak, serta tidak mudah terpengaruh dengan trend semasa yang bertentangan dengan nilai Islam walaupun ia kelihatan “moden” atau ‘viral’. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











