Rafizi jangan hanya ‘buat bising’ raih perhatian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan desakan Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli serta kumpulannya supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hanya lanjutan kenyataan awal Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS itu menegaskan, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah terlebih dahulu menyatakan pendirian mengenai cadangan tersebut susulan kemelut kehakiman pada 3 Julai lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Perikatan Nasional konsisten mendesak Kerajaan Madani agar menjamin kebebasan sistem kehakiman.

Menurutnya, desakan bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak membawa makna jika tidak disusuli keberanian untuk mendesak Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, direhatkan sementara kes saman Yusoff Rawther diselesaikan.

“Malah, Rafizi serta sembilan Ahli Parlimen PKR hanya akan dilihat berprinsip jika mereka sanggup menarik balik sokongan terhadap PMX,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang dilihat janggal apabila terus mengkritik PMX atas kelemahan tadbir urus, tetapi dalam masa sama masih mengekalkan sokongan.

“Sikap ini menampakkan beliau sekadar ‘membuat bising’ untuk meraih perhatian tanpa keberanian mengambil tindakan konkrit,” jelasnya.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu berkata, segala kemelut negara akan lebih mudah diselesaikan sekiranya semua pihak dapat bersatu dalam satu saf.

“Saya dan rakan-rakan menyokong penubuhan RCI, namun pengalaman lepas menimbulkan keraguan tentang sejauh mana hasil siasatan akan diterima serta dilaksanakan oleh kerajaan; prosesnya juga dijangka mengambil masa,” ulasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang membuat pelbagai bantahan dan kritikan terhadap kegagalan PMX agar bersama dalam himpunan pada 26 Julai ini.

“Rakyat melihat kesungguhan kita dalam membetulkan pelbagai kegagalan dan berprinsip dalam tindakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -