Lemak viseral punca pelbagai penyakit kronik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ukur lilit pinggang yang dilakukan ketika saringan kesihatan di klinik kesihatan bertujuan mengenal pasti kehadiran lemak viseral secara asas, walaupun ia bukan ukuran tepat, kata Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah.

- Advertisement -

Beliau berkata, lemak viseral adalah sejenis lemak yang disimpan dalam tubuh apabila berlaku lebihan pengambilan kalori daripada keperluan harian, iaitu sekitar 2,200 kilokalori bagi lelaki dan 1,800 kilokalori bagi perempuan.

“Empat lokasi utama simpanan lemak viseral adalah dalam pankreas, hati, rongga abdomen serta di otot-otot badan seperti paha, pinggul, bahu dan dada.

“Lemak yang tersimpan di abdomen atau dikenali sebagai ‘central obesity’ sangat berbahaya kerana menjadi faktor risiko tunggal kepada pelbagai penyakit seperti jantung dan lain-lain,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Dr Suhazeli menjelaskan, antara penyakit yang dikaitkan dengan lemak viseral termasuk diabetes dengan risiko meningkat sehingga 5 hingga 10 kali ganda akibat kerintangan insulin.

“Selain itu, individu dengan lemak viseral turut berdepan risiko tiga kali ganda mendapat sakit jantung atau strok berbanding darah tinggi dan kolesterol.

“(Juga) dua hingga tiga kali ganda risiko darah tinggi, dan empat hingga lima kali ganda risiko mengalami hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), yang boleh membawa kepada sirosis.

“Lemak ini juga meningkatkan risiko kanser kolorektal, payudara dan pankreas sebanyak 20 hingga 50 peratus, serta ‘sleep apnea’ lima sehingga tujuh kali ganda, osteoarthritis dua hingga empat kali ganda dan batu karang hempedu dua hingga tiga kali ganda,” dedahnya.

Beliau berkata, punca utama kepada pembentukan lemak viseral adalah pengambilan makanan tidak seimbang, lebihan kalori serta tekanan (stres) yang tidak diuruskan dengan baik. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -