
KOTA BHARU: Kecemerlangan akademik perlu seiring dengan kecemerlangan akhlak bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak, tetapi berintegriti dan beradab.
Menteri Besar berkata, dunia hari ini memperlihatkan bagaimana golongan cerdik pandai turut terjebak dalam pelbagai bentuk penipuan dan jenayah siber apabila tiada panduan akhlak dan pegangan agama.
Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan, mereka menyalahgunakan kecemerlangan akademik yang diperolehi sebelum ini, tanpa diselami iman dan takwa pada diri.
“Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya hebat dalam pelajaran tetapi buruk akhlaknya. Lihat sahaja hari ini, pelbagai bentuk penipuan dilakukan oleh golongan yang cerdik termasuk pemalsuan wang, dokumen dan cek,” katanya.
Beliau menambah, terdapat kes individu bijak yang menyalahgunakan ilmu dan kepintaran mereka sehingga memperdaya pegawai kerajaan dan anggota keselamatan.
“Saya masih ingat, suatu ketika dahulu ada satu kumpulan memalsukan cek sebuah kerajaan, perkara ini dah lama berlaku tetapi menjadi pengajaran penting,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan kepada 1,301 pelajar yang cemerlang dalam SPM, STAM dan STPM tahun lalu.
Jumlah tersebut merupakan angka penyertaan tertinggi sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2006 dan ia membuktikan peningkatan prestasi pelajar di negeri ini.
Nassuruddin turut menegaskan pentingnya pelajar dididik dengan asas agama supaya tidak mudah terjerumus dalam gejala tidak bermoral walaupun berilmu tinggi.
“Kalau seseorang itu hendak buat perkara buruk, tentu dia akan teringat akan larangan larangan agama. Inilah yang kita mahu, pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan tidak tergamak melakukan perkara keji,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar pencapaian pelajar Kelantan akan terus meningkat, khususnya melalui inisiatif kerajaan negeri seperti kelas tuisyen percuma untuk pelajar terpilih.
“SPM tahun 2025 diharap lebih cemerlang, apatah lagi dengan bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan agensinya untuk memperkukuh prestasi pelajar kita,” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat serta timbalannya, Kamaruzaman Mohamed dan Mufti Kelantan, Dato’ Mohd Shukri Mohamad.
Juga Ketua Hakim Syarie, Dato’ Ibrahim Deris, Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Azhar Ahmad dan Pengarah YIK, Zulkifle Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











