
KUALA LUMPUR: Penganjuran aktiviti lelongan arak di sebuah sekolah rendah di Johor baru-baru ini menunjukkan kegagalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekang cubaan menormalisasikan budaya arak di institusi pendidikan.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, isu itu bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini pernah tular penajaan syarikat arak kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) tanpa tindakan tegas walaupun bercanggah dengan Pekeliling KPM 2018.
“Lebih mendukacitakan, apabila acara melibatkan arak masih boleh dianjurkan di premis sekolah, yang sepatutnya menjadi medan pembentukan sahsiah dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
“Sikap sambil lewa dan kelonggaran pihak berkaitan menimbulkan persoalan besar siapakah yang memberikan kelulusan terhadap program sedemikian?” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, isu berkaitan arak bukanlah semata-mata persoalan agama atau perkauman, tetapi juga berkaitan maruah institusi pendidikan, moral masyarakat serta imej negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPM tampil memberikan penjelasan segera berhubung perkara tersebut serta mengambil tindakan tegas bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.
“Semua institusi pendidikan sama ada SJK, sekolah kebangsaan mahupun swasta wajar dilindungi daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan integriti dan tujuan asal pendidikan,” katanya.
Majlis yang berlangsung di dewan sebuah sekolah rendah sekitar Pekan Nanas, Pontian itu dilaporkan bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas kerana tidak berpuas hati dengan harga lelongan yang ditawarkan.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 malam dan susulan itu, seramai 18 lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 48 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











