
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pembangunan sukan negeri menerusi kunjungan hormat ke atas Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Kunjungan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad itu berlangsung di Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil, di sini.
Pertemuan tersebut bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik dalam pembangunan sukan di Kelantan serta mempelajari struktur tadbir urus sukan yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan.
“Kunjungan ini sangat penting bagi kami untuk memahami bagaimana tadbir urus sukan dijalankan di peringkat kebangsaan dan bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keperluan pembangunan sukan di Kelantan,” kata Zamakhshari.
Menurutnya, lawatan itu memberi ruang kepada Kelantan meneliti model pentadbiran sukan negara sebagai rujukan dalam memperkemas sistem sukan negeri, khususnya menjelang temasya SUKMA 2028.
Beliau berkata antara tumpuan utama perbincangan ialah memperkukuh program pembangunan atlet dari peringkat akar umbi serta penambahbaikan fasiliti dan infrastruktur sukan sedia ada.
“Kita tidak mahu hanya menjadi tuan rumah SUKMA 2028 secara fizikal, tetapi mahu memastikan persiapan berjalan rapi dari aspek atlet, fasiliti dan pengurusan,” tegas beliau.
Zamakhshari menyatakan harapan agar Kelantan dapat membina sistem sukan yang mampan, inklusif dan membanggakan rakyat negeri itu.
“Dengan kerjasama erat bersama MSN, saya percaya Kelantan mampu membina sistem sukan yang mampan dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” ujar beliau lagi.
MSN diketuai Ketua Pengarah, Jefri Ngadirin bersama Timbalan Ketua Pengarah (Sukan), Mohd Sofian Hamzah dan Pengarah Bahagian Atlet, Azrul Hisyam Abd Jalil serta Pengarah Bahagian Fasiliti, Mohd Raizal Muhamat Yaakup.
Delegasi Kelantan turut disertai Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Fiesal Abdullah. – HARAKAHDAILY











