Kerajaan perlu guna saluran diplomatik selesai isu tarif

Ismi Mat Talib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib menyuarakan kebimbangan serius terhadap pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua barangan import dari Malaysia bermula 1 Ogos ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit itu menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan unilateral yang menindas negara sedang membangun dan bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas dan adil.

“Ini satu lagi contoh dasar perdagangan Amerika yang bersifat paksaan dan tidak menghormati semangat diplomasi serta undang-undang antarabangsa.

“Ia memberi impak langsung kepada sektor eksport Malaysia termasuk pembuatan, pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau, tindakan itu dijangka memburukkan lagi tekanan terhadap ekonomi rakyat yang kini bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut Muhammad Ismi, rundingan perdagangan yang sebelum ini ditangguhkan selama 90 hari gagal mencapai penyelesaian adil, dan pengenaan tarif mengejut itu memperlihatkan sikap tidak konsisten Washington dalam hubungan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan supaya segera menggunakan saluran diplomatik untuk menuntut penangguhan dan penghapusan tarif tersebut.

“Kerajaan perlu memperkukuh kerjasama serantau melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), membina rantaian nilai alternatif serta mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran yang tidak stabil,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan pelan sokongan jangka pendek dan panjang kepada sektor eksport negara bagi mengelak kehilangan pekerjaan serta kerugian besar kepada pengusaha tempatan.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa isu ini dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dan dibawa secara rasmi ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai bantahan terhadap tekanan ekonomi luar.

“Malaysia tidak boleh tunduk kepada tekanan ekonomi yang membelakangi prinsip keadilan dan kedaulatan negara. ASEAN mesti bersatu sebagai satu suara dalam mempertahankan kepentingan serantau,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -