Ronggeng dan kesilapan pemahaman budaya di Melaka

- Advertisement -

SEKADAR berkongsi pengalaman sepanjang lapan tahun bertugas di Kabupaten Berau, Kalimantan Timur, Indonesia,ada satu peristiwa yang cukup memberi pengajaran dan boleh dijadikan renungan bersama.

Buat pertama kalinya, jawatan Bupati Berau dimenangi oleh calon dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS), iaitu sebuah parti Islam yang mempunyai asas perjuangan hampir sama dengan PAS, berteraskan gerakan Ikhwanul Muslimin.

Almarhum Bapak Muharram Suppu, selaku Bupati yang terpilih ketika itu, mengambil langkah berani dengan menggubal Peraturan Daerah (Perda) yang melarang penjualan minuman keras secara bebas. Beliau juga berusaha menanamkan nilai ikhlas dan integriti dalam kalangan pegawai pemerintahannya.

Pada tahun 2016, setelah saya berpindah ke Jakarta, secara tidak disangka saya berpeluang bertemu kembali dengan beliau semasa melawat Pusat Penyelidikan Kopi dan Koko di Jember, Jawa Timur.
Kebetulan beliau dan rombongannya turut melawat tempat yang sama.

Antara perbualan menarik kami ialah apabila beliau bertanyakan saya tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Saya menjelaskan bahawa antara kekuatan utama Almarhum TG Nik Aziz ialah kesungguhannya dalam menyampaikan kuliah dan pengajian agama secara konsisten, sehingga masyarakat dapat memahami ajaran Islam dengan betul. Hasilnya, amalan khurafat dan tradisi yang bertentangan dengan Islam ditinggalkan secara sukarela oleh masyarakat.

Beliau kemudian menyampuk dengan berkata, “Itulah juga yang saya cuba lakukan. Bila saya arahkan agar amalan adat buang ancak satu tradisi turun-temurun di kawasan pantai Batu Puteh dan Talisayan dihentikan, saya ditentang hebat oleh penduduk. Mereka marah dan berkata, ‘Kami undi Bapak jadi Bupati untuk jaga kesejahteraan kami, bukan untuk buang budaya kami. Pilkada akan datang, kami takkan undi Bapak lagi’.”

Saya lalu berkongsi pula pengalaman saya di Melaka.

Pada awal tahun 70-an hingga 80-an, masih wujud beberapa tradisi budaya masyarakat Melaka seperti mandi safar, buang limas, buang ancak, joget lambak, cak kuncak, dan bertandak. Saya sendiri membesar di zaman itu. Namun begitu, amalan-amalan ini sebenarnya tidak diterima secara menyeluruh oleh masyarakat Islam ketika itu hanya segelintir sahaja yang terlibat secara aktif.

Golongan imam masjid dan khatib ketika itu tegas menolak amalan yang bercanggah dengan syariat Islam berasa amat memalukan sekiranya ada ahli keluarga yang bertandak berjoget lambak. Akhirnya, sekitar tahun 1980-an, hampir semua tradisi tersebut hilang dengan sendirinya.

Saya masih ingat seorang imam di kampung saya, yang begitu tegas menentang joget lambak, sehingga sanggup membawa senapang patah ke lokasi majlis untuk membubarkannya. Apa yang menyebabkan perubahan besar ini?

Kuncinya ialah pengukuhan pendidikan agama. Kuliah, ceramah dan pengajian agama yang berterusan di masjid dan surau telah membentuk kesedaran masyarakat. Tanpa paksaan atau tekanan, mereka mula meninggalkan sendiri amalan yang tidak selari dengan Islam.

Berdasarkan pengalaman ini, saya mencadangkan kepada Bupati Berau agar menghantar pendakwah dan guru agama ke kawasan pantai yang masih kuat berpegang pada tradisi lama. Jika masyarakat dididik dengan ilmu yang benar, mereka sendiri akan memilih untuk meninggalkan amalan yang bertentangan dengan syariat, secara perlahan-lahan namun berkesan. Insya-Allah.

Namun begitu, setelah lebih 45 tahun berlalu, agak menghairankan apabila kini terdapat usaha mengangkat semula budaya Ronggeng dan joget lambak atas alasan kononnya ia adalah warisan budaya orang Melaka.
Mengapa perlu menghidupkan kembali amalan yang sudah ditinggalkan oleh masyarakat Melayu apabila dada- dada mereka diisi dengan ilmu Islam.

Apakah masih ada yang jahil setelah sekian lama para Asatizah dan Ulama menyampaikan kuliah – kuliah agama di surau dan masjid.

Lebih mengejutkan, ada pula yang awalnya membantah, tetapi kemudiannya bersetuju setelah diberi ‘tafsiran semula’ bahawa ronggeng bukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Bukankah ini satu kekeliruan yang boleh membawa kepada salah faham yang lebih besar?

Budaya harus dihormati, tetapi mesti ditapis dengan neraca syariat. Memartabatkan budaya yang asalnya ditolak oleh masyarakat Islam dahulu kerana unsur negatifnya, adalah langkah ke belakang. Islam tidak menolak budaya selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Namun apabila budaya itu mengandungi unsur maksiat, ikhtilat bebas atau hiburan yang melalaikan, maka menamakannya sebagai ‘warisan’ tidaklah cukup untuk menghalalkannya. Kita tidak dapat menafikan bahawa zaman telah banyak berubah dan maklumat kini berada di hujung jari. Umat manusia hari ini mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh, baik mahupun buruk.

Sebagai anak Melaka, saya berasa malu apabila cogan kata “Bijak laksana Tuah, berani laksana Jebat” hanya tinggal sebagai retorik semata-mata, tanpa diterjemahkan ke dalam dasar dan amalan pemerintahan negeri Melaka hari ini.

Pameran Hang Tuah yang diadakan tahun lalu telah menyingkap siapakah sebenarnya Hang Tuah seorang hafiz sejak umur 10 tahun, yang menjadi ikon penting dalam Kesultanan Melayu Melaka. Tidak mungkin Joget lambak menjadi budaya warisan Hang Tuah.

Kesultanan Melayu Melaka didukung oleh para wali dan ulama tersohor pada zamannya, antaranya:

- Advertisement -

1. Makhdum Syed Abdul Aziz

2. Maulana Jalaluddin

3. Maulana Abu Bakar

4. Qadhi Yusof

5. Qadhi Munawar Shah

6. Maulana Sadar Jahan

7. Sheikh Jailani Mendik Maasab (Tok Macap)

8. Sheikh Ismail

Sementara itu, Sultan Alauddin sendiri merupakan seorang ulama yang bertaraf mufti. Kehebatan Kesultanan Melayu Melaka tidak terletak pada budaya ronggengnya, tetapi pada keadilan kepada semua rakyat jelata serta mereka yang bermustautin melalui penerapan syariat Islam yang menjadi tunjang pemerintahan ketika itu.

Melaka bukan sahaja menjadi pusat pertemuan pedagang dari Timur dan Barat, malah turut berperanan sebagai pusat dakwah dan penyebaran Islam yang penting di rantau ini.

YB HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu
Ketua Penerangan PN Melaka
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -