PAS bakal jatuh jika kempen Umno Terengganu gunakan isu ini…

- Advertisement -

APABILA saya membaca berita berkenaan Umno Terengganu yang begitu bersemangat dalam perjuangan mereka untuk merampas kembali Terengganu, saya dapat merasaikan ia sesuatu tindakan yang signifikan.

PAS patut belajar untuk merasa gentar dengan ancaman Umno Terengganu ini kerana secara pembuktian fakta, Umno Terengganu pernah melakukan hal yang sama pada tahun 2004 dahulu dengan menerbalikkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh PAS, menjadi milik mereka 28-4.

Maka secara logiknya, PAS mungkin akan mendapat 0 kerusi pada PRU-16 nanti, jika strategi Umno Terengganu ini benar-benar menjadi. Jadi, apakah keperluan lain yang boleh menguatkan lagi usaha mereka? Mari aku cadangkan….

- Advertisement -

Beberapa hari lalu, mereka telah berjaya melaksanakan siri kempen awal dengan membawa Umno Pusat datang ke Terengganu bagi menerangkan hal keadaan PAS yang merosakkan negara dan segala kejahatan serta salah urus yang mungkin melebihi 47 kes rasuah, tetapi masih belum ditangkap SPRM dan dibicarakan.

Dengan kehadiran ayam sabung muda dari Kelantan yang cukup bijak dalam memberikan perumpamaan akan hal kejahatan PAS dengan logik yang sangat mudah, menyebabkan PAS berada dalam kegusaran. Beliau tetap tenang walaupun telah menerima surat saman dari MB Kelantan.

Bukanlah bermakna Pemuda Umno Terengganu penakut atau jahil berkenaan politik negeri sendiri sehingga terpaksa menjemput Pemuda Kelantan, tetapi, alang-alang sudah terima surat saman, ada lebih baik diteruskan lagi ceramah beliau yang sebegitu. Maksudnya kalau kena saman pula, taklah ramai.

Turut hadir ialah bekas Ahli Parlimen PAS yang menjelaskan betapa PAS ini sebuah parti yang sesat, sudah jauh terpelanting dari jalan yang lurus (biasanya akan ada info tambahan iaitu selepas beliau keluar PAS) dan beliau telah berusaha keras menyelamatkan PAS, tetapi gagal dan hanya Umno yang berada di jalan yang lurus sekarang.

Namun yang paling bermakna dalam perjuangan menentang kezaliman PAS Terengganu ini ialah kehadiran Dato’ Nik Dir sebagai pemangkin semangat juang Pemuda Umno Terengganu, dilihat untuk terus tahan lasak, bertahan lama, tidak mudah menjadi tisu.

Ilmu yang diamalkan beliau konsisten semenjak muda dahulu menentang PAS ialah dengan istiqamah memberitahu rakyat bahawa beliau tahu satu rahsia besar iaitu pada awal 80-an dahulu, Presiden PAS sering mandi bogel dalam kolah masjid, melalui makluman dari orang kampung beliau. Ini disyaki sebagai amalan ilmu pengasih Presiden PAS bagi menarik ramai penyokong beliau.

Oleh kerana kesesatan Presiden PAS yang nyata itu, maka perjuangan Nik Dir adalah di atas landasan agama yang suci disebabkan Nik Dir ingin mati dalam iman dan mendedahkan hal ini adalah jihad. Dan juga Nik Dir akan merasa lebih sihat dan segar badan jika boleh menyebut isu ini dalam ceramahnya. Apatah lagi disahkan sendiri oleh Nik Dir bahawa Presiden PAS bukanlah seorang ulamak, bukan tahu apa-apa berkaitan agama.

Jadi, kepada Pemuda Umno Terengganu, wajiblah perjuangkan legasi isu yang dibawa Dato’ Nik Dir ini demi kesinambungan perjuangan menentang kesesatan PAS. Insya-Allah isu sebegini boleh pergi jauh, masih ramai anak-anak muda tidak mengetahuinya.

Sebab nak baca pasal data kelemahan Terengganu, asyik main salah baca saja, kemudian claim ini yang Umno buat dulu, itu Umno bina dulu, sampai  mayat mahasiswa UPSI meninggalpun nak claim Umno yang uruskan, orang dah tak layan.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Julai 2025. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.


- Advertisement -