‘Dengan segala kesulitan ini, kita perlu terus bergerak’

Rosli Abd Rahman
- Advertisement -

TAIPING: Perjuangan menegakkan agama Allah bukanlah mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan, namun ia juga bukanlah mustahil untuk direalisasikan, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Rosli Abd Rahman, di sini.

- Advertisement -

Tegas beliau, walaupun PAS Perak mencatat lonjakan besar daripada tiga kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kepada 17 kerusi pada PRU15, namun cabaran tetap besar tetap ada.

Antaranya, kata beliau, apabila Umno memilih untuk bersama DAP dan bertindak meninggalkan PAS, secara tidak langsung menjadikan PAS sebagai pembangkang berwibawa di negeri itu.

“Walaupun kita ada banyak kerusi, bila mereka pegang kerajaan negeri, mereka ada kuasa penuh untuk melemahkan dan hakis kekuatan kita. Dengan segala kesulitan ini, kita perlu terus bergerak,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Perak kali ke-62, hari ini.

Rosli juga menegaskan, gabungan 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, sehingga kini, berfungsi dengan baik dan sentiasa mengutamakan rakyat meskipun tidak memperoleh peruntukan seperti yang diberikan kepada ADUN kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli-ahli PAS agar sentiasa bersedia dan tidak menunggu sehingga DUN dibubarkan untuk memulakan gerak kerja pilihan raya.

Beliau turut menyentuh berkaitan perkembangan pembinaan Kompleks PAS Perak (KOTADAR), yang setakat ini telah menelan kos pembinaannya hampir RM1.5 juta.

“Insya-Allah, sedikit masa lagi, kompleks itu akan siap, walau bagaimanapun, PAS Perak masih memerlukan sumbangan untuk membiayai beberapa keperluan lain.

“Kalau seorang bagi RM5 seminggu pun, kita dah boleh siapkan KOTADAR ini dengan kadar segera,” tambahnya lagi.

Justeru, ADUN Pasir Panjang itu mencadangkan agar semua muslimat negeri itu, menyahut saranan PAS Perak yang telah melancarkan Tabung Subuh untuk memudahkan ahli PAS menyumbang untuk pembangunan kompleks tersebut. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -