Ambalat: Jangan semberono tawar janji manis kepada rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan diingatkan supaya tidak semberono menawarkan janji-janji manis seperti yang ditawarkan kepada rakyat sekarang dalam rundingan blok Ambalat bersama Indonesia hujung Julai ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kawasan Ambalat yang kaya dengan ’emas hitam’ itu dianggarkan menyimpan sehingga 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas, dengan nilai mencecah USD40 bilion.

Katanya, itu tidak termasuk kekayaan di blok yang dikenali sebagai Ambalat Timur, yang mana jangkaan kemewahan tersebut boleh mencecah kepada 62 juta tong minyak dan 348 kaki kubik gas.

“Cuma kita nak beritahu andainya rundingan gagal atau tidak capai kata sepakat, kesan terhadap ekonomi sangat melebar. Contohnya, pelaburan minyak dan gas terganggu, ketidaktentuan status wilayah menyebabkan syarikat minyak berhati-hati untuk melabur, potensi kerugian pelaburan bernilai berbilion dolar AS jika konflik tidak diselesaikan serta aktiviti eksplorasi dan pengeluaran ditangguh atau dibatalkan.

“Kesan kepada hasil negara, kedua-dua negara berisiko kehilangan hasil royalti dan cukai daripada sumber minyak. Ini kerana Malaysia dan Indonesia masing-masing bergantung kepada sektor minyak dan gas untuk pendapatan negara.

“Di samping itu, gangguan perdagangan dan perkapalan kawasan Ambalat berdekatan dengan laluan perkapalan antarabangsa dan sebarang ketegangan boleh menjejaskan keselamatan laluan dan aktiviti perkapalan termasuk risiko meningkat untuk kos insurans perkapalan dan pelabuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Razali Idris

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Komunikasi yang menyifatkan pertemuan Malaysia-Indonesia hujung Julai ini sebagai ‘permulaan’ dalam menyelesaikan pertindihan tuntutan wilayah blok Ambalat.

Menurutnya, kenyataan Menteri Komunikasi selaku jurucakap kerajaan Madani yang menyifatkan rundingan itu sebagai ‘permulaan’ tanpa hala tuju jelas hanya mengundang kekeliruan rakyat.

“Kita tidak berapa nak faham kenyataan Menteri Komunikasi sebagai jurucakap kerajaan Madani yang nampak seperti tidak faham menjelaskan kes Ambalat itu sebagai satu permulaan dan bukan pengakhiran dalam isu tersebut menerusi perbincangan Malaysia-Indonesia pada hujung Julai ini?

“Untuk makluman umum, kali terakhir Rundingan Tahunan antara Malaysia dan Indonesia diadakan pada 2017. Selepas itu terhenti kerana keadaan politik yang tidak menentu di negara ini.

Jadi, apa bentuk permulaan yang dimaksudkan oleh Menteri Komunikasi itu? Sepatutnya dinyatakan satu bentuk pembaharuan yang menyakinkan dan menguntungkan, barulah rakyat kedua-dua negara nampak jelas akan hala tuju itu.

“Setidak-tidaknya percakapan Menteri Komunikasi itu selaku jurucakap kerajaan hendaklah menampakkan keyakinan dan harapan terutama meningkatkan potensi ekonomi,” ujarnya.

Untuk rekod, blok Ambalat yang terletak berhampiran Sabah menjadi tumpuan kerana potensi sumber minyak dan gas yang mampu memberi pulangan ratusan juta ringgit setahun, selain membuka peluang pekerjaan dan merancakkan industri sokongan termasuk logistik serta kejuruteraan marin.

Razali turut mengingatkan, pengalaman Indonesia ‘kehilangan’ Pulau Sipadan dan Ligitan pada 2002 seharusnya dijadikan pengajaran supaya Malaysia lebih bijak dalam perundingan.

“Umum kena faham bahawa kes Ambalat antara isu pertindihan wilayah paling penting dalam sejarah hubungan Indonesia-Malaysia. Hal ini kerana kes Ambalat boleh meningkatkan ketegangan hubungan kedua-dua buah negara dan bahkan menggugat keselamatan serantau jika tidak dirunding secara bijaksana dan berhemah.

“Sudah tentu rakyat Indonesia tampaknya cukup menyesal dengan ‘kekalahan’ Indonesia dalam perundingan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan pada 17 Disember 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, memutuskan Sipadan-Ligitan menjadi hak Malaysia.

“Jadi kerajaan Madani jangan semberono menawarkan janji-janji manis seperti yang ditawarkan janji-janji manis kepada rakyat sekarang,” katanya.

Tambah beliau, jika berjaya dirunding dengan semangat ASEAN, hasil daripada blok Ambalat mampu digunakan untuk membangunkan Sabah dan wilayah maritim lain, sekali gus membantu mengurangkan jurang pembangunan antara Malaysia Timur dan Semenanjung.

“Andainya rundingan dicapai dengan semangat asean, saya berharap manfaat itu akan diperolehi menerusi pendapatan minyak dan gas seperti di Terengganu, di mana Blok Ambalat kaya dengan minyak dan gas, dianggarkan mempunyai rizab berjuta-juta tong minyak.

“Jika Malaysia menguasai kawasan ini atau berkongsi hasil royalti minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan, cukai korporat daripada syarikat minyak seperti Petronas, peluang konsesi kepada syarikat tempatan atau GLC seperti Petronas Carigali serta anggaran pulangan berpotensi menjana ratusan juta ringgit setahun, jika eksplorasi berjalan lancar.

“Malahan peluang pekerjaan dan industri sokongan bidang kejuruteraan, keselamatan laut, logistik dan sokongan pelantar minyak serta manfaat kepada syarikat penyedia perkhidmatan minyak tempatan dan peningkatan pekerjaan berkemahiran tinggi di Sabah dan wilayah maritim lain.

“Tidak terkecuali pembangunan Sabah dan Wilayah Timur hasil daripada projek minyak boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur tempatan, termasuk jalan, pelabuhan, dan pendidikan. Pelaburan asing ke Sabah dijangka meningkat kerana kestabilan dan potensi sumber asli dan ini boleh membantu mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -