‘Sebelah kaki pembangkang, sebelah lagi kerajaan’

Dato' Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rakyat hari ini lebih mengharapkan pendekatan politik berasaskan penyelesaian atau politik solusi berbanding politik retorik yang hanya penuh dengan gema tanpa tindakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, masyarakat kini mendambakan kehidupan yang tenang dan sejahtera, justeru pemimpin perlu menumpukan usaha untuk menawarkan penyelesaian sebenar kepada masalah rakyat.

“Kalau boleh saya katakan, zaman sekarang rakyat dambakan politik solusi atau politik penyelesaian dan bukan lagi politik gema yang berdegar-degar. Rakyat mengimpikan untuk menjalani hidup dengan tenang dan tenteram.

“Bagaimana kita sebagai pemimpin yang diberikan amanah boleh berperanan untuk mewujudkan ketenteraman dan kedamaian ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap teguran yang dibuat kepada Kerajaan Persekutuan harus disertakan dengan cadangan atau langkah penyelesaian daripada kerajaan negeri supaya ia benar-benar membina.

“Bukan pembangkang tak agresif. Faktanya ialah dalam situasi sekarang, sebelah kaki kita bertindak sebagai pembangkang dan sebelah kaki lagi berfungsi sebagai kerajaan.

“Setiap teguran kita kepada Kerajaan Pusat, kita mesti kemukakan langkah solusi dari kerajaan negeri. Barulah ia menjadi teguran yang membina dan kondusif.

“Contohnya, kita tegur kerajaan dalam isu beras tempatan. Dalam masa yang sama kita bentangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi seperti peningkatan infrastruktur pengairan, jalan pertanian, pembinaan empangan, penyelenggaraan pintu air, peningkatan kesuburan tanah dan lain-lain,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan sama turut digunakan dalam sektor perikanan apabila kerajaan negeri bukan hanya mendesak penyelesaian isu lesen nelayan, malah turut mempergiat usaha memperkayakan sumber perikanan serta menaik taraf jeti pendaratan ikan.

“Kita minta Kerajaan Persekutuan selesaikan isu lesen nelayan. Dalam masa yang sama nelayan yang diberi lesen turun kelaut nak tangkap ikan. Maka kerajaan negeri buat pelbagai usaha untuk memperkayakan sumber perikanan. Barulah seimbang antara pemberian lesen nelayan dan peningkatan jumlah tangkapan.

“Kita sedar nelayan Terengganu terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain kerana isu infrastruktur pelabuhan dan jeti pendaratan. Maka kita usaha cari bajet untuk baik pulih dan naik taraf jeti yang dibawah selian LKIM. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga membina jeti-jeti baru untuk kemudahan para nelayan,” jelasnya.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan negeri juga sedang giat menaik taraf jalan pertanian dengan peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Jalan serta bajet negeri bagi memastikan kelancaran aktiviti pertanian dan meningkatkan pendapatan petani.

“Bajet negeri juga kita peruntukan untuk tujuan yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -