Gejala pil kuda di Kelantan: Naratif jahat, fakta berbeza

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

Dalam sehari dua ini, tular di media sosial dan arus media perdana mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan menggempur sindiket pengedaran pil kuda yang beroperasi di Pasir Mas dan Tumpat.

Sekalipun kejayaan ini sepatutnya diraikan sebagai titik tolak kemenangan besar memerangi najis dadah, masih wujud suara-suara sumbang yang cuba menangguk di air keruh dengan memalitkan kegagalan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam menangani gejala dadah, seolah-olah negeri ini bersubahat dalam kerosakan yang berlaku.

Namun, naratif negatif ini perlu ditanggapi dengan fakta. Gejala dadah di Kelantan bukan isu mudah. Ia bukan semata-mata masalah pentadbiran negeri, tetapi turut melibatkan aspek geografi, bidang kuasa perundangan, serta serangan arus global terhadap sistem nilai Islam yang dibangunkan oleh Kelantan.

Realiti geografi dan bidang kuasa terhad

Fakta yang sering disembunyikan ialah kedudukan negeri Kelantan yang bersempadanan langsung dengan Thailand. Sempadan darat ini menjadi laluan utama sindiket rentas sempadan dalam menyalurkan bekalan dadah ke seluruh Semenanjung. Ia berada di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana hal ehwal keselamatan, penguatkuasaan jenayah dan kawalan sempadan adalah di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Lebih jauh dari itu, sindiket dadah yang licik sering berselindung di sebalik aktiviti halal dan mewujudkan jaringan ‘jerung besar’ yang tidak mudah ditangkap.

Tindakan tegas PDRM dan kerjasama penuh Kerajaan Negeri

Pada 27 September 2023, PDRM Kelantan berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama 234,000 biji pil kuda bernilai RM2.57 juta di Pasir Mas. Dalam kes berasingan pada 4 Julai 2025, sindiket yang lebih besar ditumpaskan apabila dadah jenis pil kuda disembunyikan dalam najis lembu, menggambarkan betapa licik dan beraninya penjenayah narkotik.

YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, dalam kenyataan rasmi beliau kepada media pada 4 Julai 2025 menyifatkan kejayaan ini sebagai “jihad besar menentang jenayah yang membunuh masa depan rakyat” dan menzahirkan komitmen penuh kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dengan PDRM dalam membanteras gejala dadah hingga ke akar umbi.

Kerangka dasar Islam Kelantan: Pendidikan dan nilai

Kerajaan Kelantan telah lama menyediakan ekosistem nilai melalui Dasar “Membangun Bersama Islam” sejak 1990-an. Antara tonggak utamanya ialah:

A. Pendidikan agama dan pembangunan insan

Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengendalikan lebih 90 buah sekolah termasuk Maahad Tahfiz, Maahad Tahfiz Sains dan Sekolah Menengah Agama.

Program seperti, Membina Generasi Solat, Kem Kepimpinan Belia Islam, Bulan Sembahyang, Penghayatan Akhlak Mulia dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Urus Setia Belia (U-Bes) dan Urus Setia Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Keluarga (U-Kekwa) sebagai inisiatif pembangunan sahsiah generasi muda.

B. Perundangan kawalan sosial

Undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan seperti MPKB-BRI digunakan untuk menyekat hiburan liar, menghadkan penjualan arak, memperkenalkan peraturan aurat dan pakaian sopan, serta memperkukuh budaya hisbah melalui penguatkuasaan yang bersifat tarbawi dan mendidik.

Pil kuda: Arus deras yang tidak mudah ditangani

Kerajaan Negeri, walau dengan segala sistem nilai dan pendidikan yang dibina, tetap berdepan dengan arus deras gejala sosial yang bersifat rentas sempadan dan antarabangsa. Seumpama melawan ombak besar dengan tangan yang terbatas, usaha negeri sahaja tidak cukup untuk menyekat sepenuhnya pencerobohan nilai dan jenayah rentas sempadan ini.

Namun, kerjasama bersepadu antara PDRM, agensi pusat dan kerajaan negeri membuktikan bahawa sinergi antara dasar nilai dan kuasa penguatkuasaan mampu membuahkan hasil.

Penutup

Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah lepas tangan. Negeri ini telah lama menyediakan kerangka nilai, dasar pendidikan, penguatkuasaan undang-undang kecil dan program pembangunan insan yang menyeluruh. Dengan dukungan kuat agensi pusat seperti PDRM, usaha ini menjadi lebih berkesan dan menyeluruh.

Gejala pil kuda bukanlah bukti kegagalan negeri, tetapi sebaliknya kejayaan PDRM adalah manifestasi bahawa dasar Islam yang dibina oleh negeri telah disambut dengan tindakan berani oleh agensi keselamatan negara. Naratif sebenar bukan tentang kegagalan Kelantan, tetapi tentang kejayaan sinergi antara dasar Islam dan tindakan melawan kebatilan secara kolektif dan menyeluruh.

WAN MOHD SHARAFI WAN MUSTAFFA – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -