
KANGAR: Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Perlis 2025 berlangsung meriah dengan penyertaan aktif para pelajar, guru serta ibu bapa di D’Futsal Centre, Batu 2 Lama, di sini kelmarin.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang merangkap Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abdul Jalil.
Pertandingan yang melibatkan tiga kawasan iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau ini menyaksikan saingan sengit dalam kedua-dua acara iaitu bola sepak dan bola jaring.
PASTI Kawasan Padang Besar berjaya muncul sebagai Johan Keseluruhan setelah kedua-dua pasukannya, Padang Besar The Blues (bola sepak) dan Padang Besar Alpha (bola jaring) menjuarai kategori masing-masing.
Sementara itu, Kangar Titans meraih tempat kedua dalam acara bola jaring dan Padang Besar Thunders mendapat naib johan dalam acara bola sepak.

Menurut ADUN Beseri yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun, kejohanan ini menjadi platform awal untuk mencungkil bakat kanak-kanak prasekolah.
“Sukan PASTI ini bertujuan memberi peluang kepada anak-anak mencungkil bakat sejak kecil. Kita dapat lihat bakat-bakat yang semakin menyerlah dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau turut berkongsi pepatah Arab ‘Al-‘Aqlu as-Salim fi al-Jismi as-Salim’ yang bermaksud “Akal yang sihat datang daripada tubuh badan yang sihat”.
Hurainya, perkara tersebut menunjukkan pentingnya menekankan keseimbangan antara kecerdasan minda dan kesihatan fizikal.
Tambah beliau lagi, PASTI tidak hanya menekankan aspek akademik semata-mata, tetapi turut memberi perhatian kepada pembangunan fizikal, kerohanian dan spiritual pelajar.
Turut hadir memberi sokongan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS Perlis, Mustaqim Abdullah.
Menteri Besar Perlis merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Shukri Ramli turut hadir memeriahkan kejohanan, menyokong cucunya yang turut bertanding dalam acara tersebut.
Juga, Exco Pendidikan Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan serta beberapa pimpinan PAS negeri. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











