
SERING kita dengar, umur masih muda tetapi sering sakit-sakit. Sakit uratlah, sendilah, angin satu badan, cepat letih dan lain-lain.
Baharu awal 40-an, sudah macam-macam diserang penyakit, itu tidak termasuk darah tinggi, kencing manis, jantung dan pelbagai lagi.
Tidak termasuk berat badan berlebihan, perut mendahului badan, mana tidaknya berjalan sedikitpun dah cepat mengah.
Namun realiti yang perlu kita akui, masalah seperti itu, jarang dialami oleh golongan tua terutama yang tinggal di kampung-kampung.
Mereka masih mampu berjalan kaki dengan jarak yang agak jauh, memikul barangan berat, jarang diserang sakit lutut, sakit sendi, sakit urat dan sebagainya, walaupun ada tetapi tidak ramai.
Zaman dahulu juga, kita jarang mendengar kes orang obes, darah tinggi pada umur muda atau kencing manis pada usia muda. Mesti ada jawapan dan rahsianya.
Antaranya, kerana gaya hidup mereka lebih aktif kerana banyak bergerak seperti berjalan kaki ke kebun, ke surau, ke pasar dan lain-lain.
Jiwa mereka juga lebih tenang, tidak serabut dengan masalah yang dialami oleh orang sekarang, tidak penat hadap trafik jem di jalan raya, berebut parkir kereta, berlari mengejar LRT, MRT dan sebagainya.
Makan pun tidak berlebihan, tiada makanan viral, makan hanya bila lapar, semua dari kebun, laut, atau dapur sendiri bukan makanan proses yang tinggi perasa.
Mereka ini sering tidur awal dan bangun awal. Tidak berjaga semata-mata untuk ‘scroll’ telefon bimbit, melayari TikTok, WhatsApp dan sebagainya.
Sebelum matahari terbit, mereka sudah ‘ready’ bangun dari tidur, bersihkan diri dan paling penting mereka tidak berlumba-lumba dengan sesiapa serta cukup bahagia dengan cara kehidupan sendiri.
Mungkin inilah masanya kita kembali meniru dan mencontohi cara hidup yang lebih dekat dengan alam, dan lebih jujur dengan keperluan tubuh.
Hidup sihat tidak semestinya mahal, cuma kadang-kadang perlu ikhlas konsisten meninggalkan tabiat kurang sihat kerana bahagia dan sihat tidak boleh berpura-pura. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











