
TAIPING: Negara kini sedang diuji dengan pelbagai cabaran termasuk kegagalan pentadbiran kerajaan yang dilihat lemah dalam mempertahankan ketuanan Islam, demikian tegas Dr Najihatussalehah Ahmad.
Justeru kata Ketua Muslimat PAS Negeri Perak itu, muslimat kini bukan lagi berperanan hanya sebagai penyokong di belakang tabir, sebaliknya, ejen perubahan yang bergerak seiring dalam medan perjuangan.
“Muslimat juga perlu bangkit serta memperteguhkan semangat jihad perjuangan dengan memainkan peranan aktif di medan dakwah, kebajikan, pendidikan, politik dan sosial,” kata beliau.
Bahkan ujarnya lagi, muslimat perlu memposisikan peranan menghadapi isu-isu mendatang sama ada di dalam negara mahupun yang melibatkan ketuanan Islam seperti konflik di Palestin serta pergolakan antara Iran dan Israel.
Ucapan penuh semangat itu disampaikan beliau pada ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Perak kali ke-62, yang dirasmikan oleh Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abd Samad, di sebuah hotel, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota itu juga menyarankan agar semua pemimpin dan ahli muslimat setiap lapisan menjadikan tema muktamar “Muslimat Muafakat Menuju Kemenangan” sebagai pemangkin menyusun gerak kerja.
Melalui tema itu tegasnya, ia menekankan kepentingan penyatuan hati dan tindakan dalam kalangan muslimat sendiri, demi memperkukuhkan kekuatan ummah dan menegakkan kedaulatan Islam di tanah air.
“Kita akan terus menjadi mata rantai perjuangan yang berpaksikan akidah Islam yang jelas dan tuntas,” kata beliau dengan disambut dengan laungan takbir oleh para perwakilan.
Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia itu juga menyeru, memperkukuhkan kesatuan fikrah, amal dan hati agar setiap gerak kerja dakwah lebih berstrategi, teratur dan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat.
Pengukuhan itu katanya, sekali gus akan membina penyatuan yang bukan hanya dalam ucapan, tetapi diterjemahkan dalam tindakan.
“Penyatuan ini mesti bermula dengan diri sendiri. Elakkan perpecahan, saling memahami dan memperkukuh silaturahim sesama muslimat,” sarannya lagi.
Dalam pada itu Dr Najihah turut mengingatkan hadirin agar memahami kemenangan sebenar bukan sekadar menang dalam pilihan raya, tetapi apabila Islam berjaya ditegakkan dalam seluruh aspek kehidupan.
Termasuk ujarnya, memperkasakan masyarakat dengan ilmu dan akhlak, agar institusi keluarga Muslim menjadi asas kukuh pembinaan ummah.
“Sebarang usaha meminggirkan Islam daripada politik dan pentadbiran negara adalah satu bentuk kemungkaran besar yang mesti dicegah dan diperbetulkan.
“Islam adalah addin yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota.
Sementara, aktiviti tarbiah katanya, perlu dipertingkatkan untuk kemantapan organisasi selain kekuatan rohani mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui sufi dan jihad ruhiyyah.
“Perjuangan ini bukan mudah, tetapi bukan juga mustahil. Dengan muafakat dan iltizam, kita akan mara menuju kemenangan yang hakiki,” katanya penuh semangat. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











