GAMIS tegas tolak pembudayaan kondom di kampus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memandang serius tindakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan mana-mana MPP yang memperkenalkan inisiatif pengedaran kondom secara terbuka di kampus atas alasan kesihatan seksual.

- Advertisement -

Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, perbuatan itu bukan sahaja tidak selari dengan nilai moral dan budaya tempatan, malah berpotensi membuka ruang kepada gejala sosial yang lebih besar dalam kalangan mahasiswa.

“GAMIS ingin menegaskan bahawa mahasiswa adalah pewaris kepimpinan masa depan negara. Maka, segala bentuk pendidikan dan pembudayaan haruslah dibina atas asas tanggungjawab, akhlak dan ketundukan kepada nilai murni yang berteraskan agama dan Perlembagaan Persekutuan.

“Pengedaran kondom bukanlah solusi terbaik bagi menangani isu pergaulan bebas atau kehamilan luar nikah, bahkan akan membuka ruang yang lebih luas kepada normalisasi seks luar nikah dalam kalangan mahasiswa.

“Sebaliknya, pendekatan pendidikan kesedaran, penguatan sahsiah dan penghayatan nilai agama lebih tepat untuk membentuk masyarakat kampus yang sihat dan beretika,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.

Mohammad Azamuddin berkata, tindakan itu berisiko melanggar undang-undang sedia ada, khususnya berkaitan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan peruntukan undang-undang moral awam.

“Sekiranya tidak dilaksanakan secara berhemah dan berpandukan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia serta pihak berkuasa institusi tindakan ini berisiko melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak terutama MPP, pentadbiran universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan kembali kepada peranan mendidik dan membina generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah utuh jati diri serta berpegang kepada prinsip agama dan budaya.

“GAMIS akan terus memantau isu ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kampus kekal sebagai tempat suci ilmu dan pembinaan peribadi, bukan medan normalisasi budaya hedonisme dan permisivisme,” katanya.

Terdahulu, penganjuran ‘Minggu Kesaksamaan Gender’ di UTAR Kampus Sungai Long, Kajang, baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila kondom diedarkan secara terbuka kepada para pelajar.

Ia sekali gus mengundang kritikan hebat termasuk sebuah petisyen dalam talian yang menyifatkan kempen tersebut mempromosi agenda tertentu.

Bagaimanapun, MPP UTAR Kampus Sungai Long dengan sokongan kumpulan mahasiswa, Voice of Youtharian dan Kelab Feminis Universiti Malaya tampil mempertahankan kempen itu pada Khamis dalam satu kenyataan rasmi.

Kumpulan itu menegaskan bahawa program itu kononnya bertujuan melahirkan kesedaran mengenai, antara lain, usaha pencegahan penyebaran penyakit kelamin.

Isu-isu yang dibangkitkan merupakan krisis kesihatan awam yang melanda pemuda di serata Persekutuan, termasuklah mahasiswa.

Penganjur turut merujuk kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, yang mendedahkan bahawa lebih 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia telah didiagnosis dengan HIV antara 2020 hingga 2024, termasuk 222 kes baharu tahun lalu. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -