Sumber tak bernama sekali lagi perdaya media

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan media mengenai penutupan ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di kawasan elit Solaris Dutamas, di sini, adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, bukan sekali media seperti FMT dan Malaysiakini ditipu oleh sumber yang tidak mereka namakan, tetapi sudah berkali-kali.

“Kenyataan Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali jelas menyatakan bahawa perjanjian penyewaan ibu pejabat PN selama dua tahun telah tamat pada 14 April lalu.

“Perjanjian penyewaan tidak dilanjutkan atas persetujuan bersama kedua-dua pemilik dan penyewa. Ibu Pejabat PN masih beroperasi seperti biasa.

“(Ia) di bawah kendalian pegawai-pegawai dan kakitangan ibu pejabat di lokasi tidak rasmi sementara ibu pejabat rasmi yang baru sedang disiapkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tun Faisal turut menegaskan bahawa beliau tidak mengeluarkan kenyataan sebelum ini kerana menghormati bidang kuasa Setiausaha Agung dalam isu berkaitan pentadbiran parti.

“Sebagai Ketua Penerangan BERSATU, saya tidak menjawab mendahului Setiausaha Agung PN kerana saya percaya bahawa saya tidak wajar mendahului autoriti dalam bidang tugas yang telah ditentukan oleh parti,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan ibu pejabat PN itu ditutup selepas didakwa gagal membayar sewa sejak Mac lalu di mana pejabat tersebut berfungsi sebagai lokasi mesyuarat Majlis Tertinggi PN sejak penubuhan gabungan itu pada 2020. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -