
ALOR SETAR: Desas desus kononnya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden PAS, merupakan dakwaan tidak berasas dan khabar angin semata-mata, demikian sangkal Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, Tuan Guru Abdul Hadi sendiri tidak pernah memberi bayangan akan berundur dan melepaskan jawatan walaupun kesihatannya sedikit merosot.
“Memang kesihatan beliau sedikit merosot, tetapi beliau masih mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Malah Tok Guru sendiri pun tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berundur dalam mana-mana majlis rasmi parti pun sebelum ini.
“Tapi ada pula yang pandai-pandai buat cerita Tok Guru nak berundur,” bidas beliau dan menganggap dakwaan itu membuktikan ada pihak yang gerun dengan aura Ahli Parlimen Marang itu.
Tegas Sanusi, Tuan Guru Abdul Hadi masih mampu melaksanakan tugas sebagai Presiden dengan baik dan mempunyai pandangan dan idea bernas yang diperlukan parti.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis ramah mesra Aidiladha Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Hotel Raia, di sini hari ini.
“Bukan mudah untuk mencari pemimpin yang ada idea, mental sihat dan kuat lebih daripada fizikal. Idea serta pandangan dalam pemikiran Tok Guru sentiasa relevan dan terbaik.
“Tok Guru juga bukan sekadar tokoh parti tapi berperanan besar hingga ke peringkat antarabangsa,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kedah.
Mengulas lanjut katanya, semua ahli PAS seluruh Malaysia mahukan Tok Guru Abdul Hadi terus menjadi presiden parti itu, malah beliau juga diperlukan oleh dunia Islam berdasarkan pengalamannya yang luas.
“Dunia Islam memerlukan pengalaman beliau dalam menjalin hubungan dengan badan-badan antarabangsa, menyelesaikan konflik kemanusiaan dan politik, serta memperdekatkan perbezaan antara mazhab dalam Islam,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Presiden PAS itu memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Namun menurut laporan berkenaan, setakat ini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh parti mahupun Tuan Guru sendiri berkenaan hal itu.
Sementara, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya ketika ditemui Harakahdaily, Ahad lalu, menganggap isu kononnya Tuan Guru Abdul Hadi akan berundur sebagai Presiden PAS, hanyalah direka oleh media siber Pakatan Harapan (PH).
Tindakan itu katanya, untuk mengalih perhatian rakyat menutup isu-isu besar yang berlaku dalam negara.
“Isu 5,000 kakitangan Petronas yang akan diberhentikan kerja, isu Muhammed Yusoff Rawther isu kelemahan urus tadbir negara dan lain-lain.
“Mereka cuba nak tutup isu-isu besar itu dan media seolah-olah sengaja dibawa untuk memainkan isu yang lain, sehingga fokus rakyat, beralih kepada isu lain,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











